Saturday 30 December 2017

Penulis Mushaf Madinah

Ramai orang sangka Mushaf al-Quran yang digunapakai sekarang, ditulis dengan komputer. Ini memandangkan keseragaman, mudah, dan geniusnya tulisan berkenaan. Tetapi tahukah anda, bahawa hakikat sebenar tulisan tersebut adalah tulisan tangan secara manual sahaja, tanpa menggunakan komputer.

Penulis al-Quran Mushaf Madinah yang masyhur dipakai sekarang, ialah Sheikh Uthman Taha. Penulis khat (al-Khattat) yang berasal dari Halab, Syria ini, mula menulis mushaf pertama sejak tahun 1970. Apabila berpindah ke Saudi pada tahun 1988, beliau dilantik untuk bekerja sebagai penulis utama Mushaf al-Quran Kompleks al-Quran Malik al-Fahd, sehingga sekarang.

Satu Mushaf al-Quran, mengambil masa lebih 3 tahun untuk disiapkan. Kerja yang dilakukan oleh beliau, adalah proses yang begitu teliti dan rumit. Sebarang kecatatan walau pun sekadar contengan bersaiz habuk, akan ditolak.

Bagi orang awam, Mushaf tulisan beliau hanyalah sekadar untuk dibaca sahaja. Tetapi bagi yang ingin mendalami ilmu al-Quran, serta menghafaz kitab suci ini, tulisan tangan beliau adalah begitu genius.

Contohnya, setiap lembar mengandungi 15 baris. Barisan pertama, bermula pada pangkal ayat. Sementara barisan terakhir, akan tamat dengan penghujung ayat (berbeza dengan Quran Majid/Imla’i, yang akan bersambung ke lembaran baru).

Ia juga berperanan sebagai mushaf tajwid. Antaranya, ialah tanda pengenalan izhar, menerusi variasi tanda tanwin/dua baris. Ramai yang tidak perasan, ada perbezaan tanwin untuk huruf izhar dan yang bukan izhar.

Moga dengan perkongsian ini, akan menyebabkan kita jenguk-jenguk mushaf kita, dan akan menjadikan tahun baru 2018 sebagai tahun untuk kita semakin hampir dengan al-Quran.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments