Tuesday 17 November 2009

Pengenalan Ilmu Tajwid dan periwayatan yang digunakan di Malaysia


Ilmu Tajwid dari segi bahasa ialah mengelokkan sesuatu atau mendatangkan sesuatu yang baik. Sementara dari segi Istilah pula ialah sesuatu ilmu untuk mengetahui cara melafazkan huruf-huruf al-Quran dengan betul.


Sesetengah ulamak mentakrifkan tajwid sebagai memberi huruf akan haknya daripada sifat-sifat yang lazim baginya, serta keperluan dari segi hukum yang terbit dari sifat-sifat tersebut. (Sa’udi, 1990. ms:121). Ini bermaksud menunaikan hak huruf dan apa yang sepatutnya bagi sesuatu huruf al-Quran seperti menunaikan apa yang sepatutnya bagi makhraj sesuatu huruf, sifat-sifatnya (ciri-cirinya), dengungnya, panjangnya (mad), tebal atau tipisnya sebutan sesuatu huruf dan lain-lain hal yang bersabit dengan ilmu tajwid. Ada yang mentakrifkan sebagail ilmu yang menerangkan hukum-hukum serta kaedah-kaedah yang mesti diamalkan semasa membaca al-Quran dengan menepati apa yang diterima daripada Rasulullah s.a.w.

Al-Quran yang kita warisi dari Rasulullah s.a.w tidak dibaca dengan satu cara sahaja, tetapi ia harus dibaca dengan beberapa cara mengikut riwayat Qiraat yang diambil dari Rasulullah s.a.w . Ini kerana Rasulullah s.a.w membenarkan para sahabat membaca al-Quran mengikut Lahjah (loghat/dialek) mereka sendiri, yang mana mereka semua adalah berbahasa arab sama seperti bahasa al-Quran yang diturunkan. Maka wujudlah di kalangan para sahabat , pembacaan al-Quran yang berbeza tetapi kesemuanya diakui sah oleh Rasulullah s.a.w melalui hadith baginda yang berbunyi :

قَا لَ أَقْرَأَنِى جِبْرِياُ عَلَى حَرْفٍ فَرَاجَعْتُهُ فَلَمْ أَزَلْ أَسْتَزِيدُهُ وَيَزِيدُونِي حَتَّى انْتَهِى اِلَى سَبْعَةٍ أَحْرُفٍ.

Ertinya : “ Jibril a.s membaca kepada aku al-Quran dengan satu cara sahaja, maka aku berulang-ulang meminta supaya ditambah bacaan lain, dan jibril pun menambahya sehinggalah lengkap 7 perbezaan bacaan”
(Hadis ke 4607 Sahih al- Bukhari)

Di Malaysia, pembacaan al-Quran pada masa sekarang adalah mengikut Rasm Uthmani, yang telah ditulis dan dibukukan semasa pemerintahan Saidina Othman bin Affan r.a. Sementara bacaannya adalah mengikut riwayat Hafs bin Sulaiman melalui Toriq Asy-Syatibiyyah dan ianya diambil dari Qiraat Imam ‘Asim. Imam ‘Asim adalah seorang pelopor mazhab Qiraat yang tujuh daripada sepuluh. Nama beliau ialah ‘Asim bin Abi an-Najud al-Asadi al-Kufi, Syeikh Qurra’di Kufah selepas Abu ‘Abd Rahman as-Sulami. Beliau adalah seorang Tabi’en yang hampir dengan para sahabat dan berkesempatan bertemu dengan ramai di kalangan mereka ( sahabat) semasa hayatnya. Beliau seorang yang fasih serta mahir dalam bacaan al-Quran, memiliki suara yang lunak, sedap dan disegani, apabila beliau membaca al-Quran hingga dikatakan beliau “manusia yang paling baik suaranya dalam bacaan al-Quran”.

Bersambung sanad (salasilah) bacaan al-Qurannya kepada Rasulullah s.a.w hanya diselangi oleh dua orang perantaraan sahaja sepertimana gambarajah di bawah :

Beliau wafat setelah meninggalkan warisan yang tidak ternilai bagi seluruh umat islam pada penghujung tahun 127 hijrah dan dikebumikan di Kufah. Diriwayatkan dari Abdullah bin Ahmad bin Hambal: “ Aku pernah bertanya bapaku : Qiraat manakah yang lebih kamu sukai ? Jawab Imam Ahmad (w: 241H): Qiraat penduduk Madinah. Jika tiada, maka Qiraat Imam “Asim”. Beliau mempunyai anak murid yang terlalu ramai tetapi yang paling mashyur hanya dua orang sahaja iaitu :

i)Abu Bakar Syu’bah bin Abbas
ii)Abu Umar Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi yang menjadi periwayatan pembacaan al-Quran penduduk Islam di Malaysia.

Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah bin Abi Daud al-Asadi al- Kufi, terkenal dengan gelaran Abu Umar merupakan anak murid dan juga anak tiri kepada Imam “Asim. Beliau telah mengambil bacaan al-Quran terus dari gurunya “Asim secara talaqqi dan Musyafahah. Beliau amat terkenal dengan ketelitian dan ketepatan bacaan dan hafalan al-Qurannya. Beliau belajar sehingga menjadi seorang yang sangat mahir melebihi rakannya yang bernama syu’bah. Ramai di kalangan ulamak mengakui ketokohan beliau dalam bacaan al-Quran. Oleh sebab itu beliau lebih mashyur dan terkenal di segenap pelusuk Negara menjadikan ramai manusia datang belajar dengannya.

Bersambung sanad (salasilah) bacaan al-Quran kepada Rasululllah melalui gurunya Imam “Asim seperti berikut :

Hafs <= ‘Asim <= As- Sulami <= Ali <= Rasulullah s.a.w Gambarajah : Kedudukan bersambung sanad dari gurunya sehingga kepada Rasulullah s.a.w. Oleh kerana Hafs telah melahirkan ramai anak-anak murid, maka bacaan riwayat Hafs ini telah tersebar luas ke seluruh Negara Islam, pada waktu itu hingga ke hari ini terutama sekali negara-negara sebelah Asia. Beliau wafat pada tahun 180 Hijrah. Selepas kewafatan Imam Hafs wujud pula Toriq (aliran bacaan) yang berbagai-bagai seperti aliran Asy-Syatibiah dan aliran Al-Jazariah. Kita di Malaysia membaca al-Quran mengikut Rasm Uthamani dan kaedah bacaan mengikut riwayat Hafs melalui Toriq Asy-Syatibiah. Imam Asy-Syatibiah, nama sebenarnya ialah Al-Qasim bin Fiyyurah bin Khalf bin Ahmad Asy- Syatibi Ar-Ru’aini Al-Andalusi. Dilahirkan pada akhir tahun 538 Hijrah di Syatibah di Andalus. Beliau adalah imam yang terkemuka dalam meriwayatkan Qiraat yang tujuh melalui kitabnya yang terkenal iaitu Hizrul Amani wa Wajhut Tahani atau lebih dikenali dengan Matan Asy-Asyatibiah. Beliau mempelajari al-Quran dan Qiraat dari gurunya di Syatibah iaitu Abi Abdullah Muhammad bin Abil “As Al-Nafari. Imam As-Syatibi adalah seorang yang mendalam pengetahuannya dalam bidang-bidang ilmu islam dan Bahasa Arab. Selain daripada ingatan beliau yang kuat dan akal yang tajam, beliau juga mempunyai akhlak yang tinggi dan mulia, tidak memandang dunia, takut kepada hukum Allah. Beliau merupakan seorang yang mahir dalam semua Qiraat, namun apa yang beliau riwayatkan daripada bacaan Imam ‘Asim adalah lebih mashyur dan diterima oleh semua berbanding dengan yang lain. Bacaan oleh beliau daripada riwayat Hafs dari Qiraat ‘Asim dari aliran Asy-Syatibiah telah menjadi bacaan yang utama yang diamalkan oleh sebahagian besar umat islam sehingga ke hari ini termasuklah negara kita Malaysia. Dari keterangan di atas, jelas terbukti bahawa sesuatu bacaan itu mempunyai bacaan yang sah datangnya dari Rasulullah s.a.w. Walaupun terdapat perbezaan bacaan, tetapi apa yang lebih penting ialah perbezaan itu mestilah mempunyai sandaran yang kuat dan sah dalam pengambilannya.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments