Saturday 24 August 2013

MANHAJ WAQAF HURUF HAMZAH QIRA'AT IMAM HAMZAH AL-ZAYYAT DAN KEUNIKANNYA DI DALAM PEMBACAAN AL-QURAN


Pendahuluan
Imam Hamzah merupakan salah seorang dari Imam Qira'at yang terkemuka. Nama beliau mula diketengahkan oleh Ibn Mujahid yang merupakan pengasas Qira'at Tujuh.[2] Ibn Mujahid telah menyenaraikan tujuh imam berserta dengan dua orang periwayatnya yang terkemuka. Imam yang tujuh itu ialah Abu Ruaim Nafi’ bin 'Abd al-Rahman bin Abi Nu'aim al-Laithi, 'Abd Allah bin Kathir al-Makki, Zabban bin al-'Ala’ bin 'Ammar bin al-‘Uryan al-Mazini al-Tamimi al-Basri, 'Abd Allah bin 'Amir al-Syami al-Yahsabi, 'Asim bin Abi al-Najud al-Asadi, Hamzah bin Habib bin 'Ammarah al-Zayyat dan 'Ali bin Hamzah bin Abdullah al-Kisai.[3] Dari sudut kedudukan yang disenaraikan oleh Ibn Mujahid, beliau berada pada nombor enam dari senarai imam-imam Qira'at yang tujuh. Dua orang rawinya yang terkenal meriwayatkan bacaan Qira'atnya ialah Abu Muhammad Khalaf bin Hisyam al-Bazzar dan Abu ‘Isa Khallad bin Khalid al-Syairafi.[4]

Biografi
Beliau adalah Abu `Ammarah Hamzah ibn Habib ibn `Ammarah ibn Isma‘il al-Kufi al-Zahid al-Taymi lebih dikenali dengan panggilan al-Zayyat.[5] Beliau merupakan salah seorang hamba kepada keluarga `Ikrimah ibn Rib`i al-Taymi. Oleh yang demikian panggilan al-Taymi telah disandarkan kepada nama beliau.[6] Beliau juga merupakan salah seorang yang berketurunan Parsi.[7] Menurut al-Imam al-Dhahabi para ulama sepakat mengatakan bahawa tahun kelahiran beliau bersamaan dengan tahun kelahiran al-Imam Abu Hanifah iaitu pada tahun 80 H[8] bersamaan dengan tahun 700 M.[9] Beliau merupakan seorang yang cukup bertanggungjawab untuk mencari nafkah bagi keluarganya. Kebanyakan ulama tarikh menyatakan bahawa pekerjaan beliau adalah membawa dan menjual minyak ( al-zayt ). Daripada pekerjaan itulah beliau mendapat laqab al-Zayyat. Diriwayatkan bahawa beliau selalu membawa dan menjual minyak dari Kota Kufah (Iraq) ke kota Hulwan[10] (kota di pinggiran Iraq yang berdekatan dengan negara-negara kawasan berbukit[11]) kemudian dari bandar Hulwan beliau membawa keju dan kelapa (santan) untuk dijual di Bandar Kufah.[12]
Beliau merupakan seorang yang pakar di dalam ilmu Qira’at dan termasuk salah seorang daripada Imam al-Qira`at al-Sab`ah (tujuh orang ahli Qira`at). Menurut al-Zirikli para ulama bersepakat (ijma`) mengatakan bahawa Qira’at Hamzah diterima.[13] Perkara yang sama juga telah dikatakan oleh al-Imam al-Dhahabi walaupun di zamannya ramai ulama yang tidak sependapat dan menentangnya.[14] Beliau merupakan ikutan masyarakat Kufah di dalam aspek Qira’at selain daripada `Asim dan al-A`masy. Beliau adalah ulama yang sangat dipercayai dan boleh dijadikan rujukan masalah yang berkaitan dengan kitab al-Qur’an. Beliau juga merupakan seorang yang merdu suaranya serta memiliki kepakaran di dalam bidang ilmu sastera Arab. Disamping itu beliau banyak menghafal Hadith al- Nabawi. Beliau turut terkenal sebagai ulama yang zuhud, kuat beribadah, berhati-hati ketika berkata-kata dan banyak menangis.[15] Menurut al-Imam al-Dhahabi, beliau merupakan ulama yang sangat pakar dalam bidang fara’id (pewarisan) dan menjadi ikutan pada sifat wara'nya.[16] Beliau juga mempunyai kelebihan dalam bidang perbahasan, berhujjah serta seorang yang cukup ikhlas.[17]

Salasilah (Sanad) Qira’at Hamzah
Imam Hamzah di dalam periwayatannya dan pengambilan Qira’at mempunyai salasilah yang bersambung hingga sampai kepada Rasulullah S.A.W. Salasilah ini lebih dikenali dengan istilah sanad. Susunan sanadnya adalah seperti berikut:- “Hamzah mengambil bacaan Qira'at dari al-A`masy. Al-A`masy mengambil dari Yahya  ibn Waththab manakala Ibn Waththab mengambil dari `Alqamah ibn Qays. `Alqamah ibn Qays mengambil bacaannya dari Ibn Mas`ud. Akhirnya Ibn Mas`ud mengambil daripada Rasulullah S.A.W.”[18] Dari sanad inilah dapat memperlihatkan bahawa bacaan Qira'at yang dibawa oleh Imam Hamzah merupakan sesuatu yang mutawatir datangnya dari Rasulullah S.A.W. Melalui sanad ini juga Imam Hamzah menjadi seorang ulama yang terkenal dalam ilmu Qira'at sekaligus memberikan kekuatan dalam perkembangan Manhaj bacaan Qira'atnya.
Di dalam kitab Hadiyah al-`Arifin “Asma’ al-Mu’allifin Wa Athar al-Musannifin” penulisnya Isma’il Basya telah menjelaskan hasil-hasil karya beliau kepada dunia Islam. Menurutnya, Imam Hamzah mempunyai dua hasil karya yang beliau sumbangkan ke dunia akademik iaitu Kitab al-Fara’id dan Kitab al-Qira’at.[19] Dalam kitab al-Faraid ini telah membicarakan hukum hakam yang berkaitan dengan hukum pewarisan di dalam Islam. Beliau juga turut mengenengahkan kaedah-kaedah mudah bagi pengiraan harta pusaka.[20] Menurut Isma’il Basya kitab al-Qira'at tersebut  dimuatkan dengan bacaan-bacaan yang disandarkan kepada Imam Hamzah.[21] Setelah penulis amati, Imam Hamzah bukan sekadar tersohor dengan bidang Qira'at sahaja namun beliau juga turut aktif dalam memperjuangkan ilmu-ilmu lain terutamanya ilmu Fiqh. Ini terbukti dengan hasil karya beliau dalam bidang pewarisan yang turut menjadi rujukan dalam bidang Fiqh di zamannya.

Manhaj Waqaf Hamzah 'Ala al-Hamz
Secara umumnya bagi Imam Hamzah terdapat empat kaedah yang digunakan ketika berhenti pada huruf-huruf Hamzah sama ada di tengah-tengah perkataan atau di hujung perkataan.[22] Kaedah tersebut ialah Ibdal, Naql, Tashil Bain-Bain dan Hadhf atau Isqat.

a)      Hamzah sukun terletak selepas huruf berbaris[23]
Imam Hamzah akan menukarkan (mengibdalkan) huruf Hamzah kepada huruf Mad apabila huruf berbaris bertemu dengan Hamzah mati ketika Waqaf.
  1. Sekiranya sebelum Hamzah itu berupa huruf berbaris atas maka Hamzah akan diibdalkan dengan huruf Mad Alif.
  2. Sekiranya sebelum Hamzah itu berupa huruf berbaris depan maka Hamzah akan diibdalkan dengan huruf Mad Waw.
  3. Sekiranya sebelum Hamzah itu berupa huruf berbaris bawah maka Hamzah akan diibdalkan dengan huruf Mad Ya.
Kedudukan huruf Hamzah mati itu ada kalanya terletak di tengah-tengah perkataan dan kadangkala terletak di hujung perkataan.[24] Contohnya:-
1.      Di tengah perkataan sukun asli (Lazim)- اطْمَأْنَنْتُمْبَوَّأْنَاالْمُؤْمِنُوْناللُّؤْلُؤَ   maka ketika Waqaf  Imam Hamzah membaca dengan اطْمَاْنَنْتُمْبَوَّاْنَاالْمُوْمِنُوْناللُّوْلُؤَ   
2.      Di hujung perkataan sukun asli (lazim)- الـمَلأَاقْرَأْتَفْتَؤُا maka ketika Waqaf Imam Hamzah membaca dengan الـمَلاَاقْرَاتَفْتَوُا
3.      Di hujung perkataan sukun 'Arid عَنِ النَّبَأاَنْشَأَبَدَأَ   maka ketika Waqaf  Imam Hamzah membaca dengan عَنِ النَّبَااَنْشَابَدَا
b)      Huruf Hamzah berbaris terletak selepas huruf sukun[25]
            Imam Hamzah memindahkan (naql) huruf Hamzah berbaris yang sebelumnya merupakan huruf yang mati. Dalam keadaan begini Imam Hamzah akan memindahkan baris Hamzah kepada huruf yang mati sebelumnya menjadi berbaris. Kemudian huruf Hamzah itu akan dibuang. Ini berlaku sama ada huruf Hamzah itu berada di tengah-tengah perkataan atau dihujung perkataan.[26] Pembahagiannya adalah seperti berikut:-
1.      Huruf Hamzah berbaris terletak selepas sakin sahih di tengah perkataan atau di hujung perkataan. Contohnya:- جُزْءًاالظَّمْأَندِفْءٌمِلْءٌ  maka ketika Waqaf Imam Hamzah membaca dengan (naql) جُزًاالظَّمًاندِفٌمِلٌ  [27]
2.      Huruf Hamzah berbaris selepas huruf Lin (Waw Asliyyah yang mati atau Ya Asliyyah yang mati sebelumnya merupakan huruf berbaris Fathah). Ia berlaku sama ada di tengah perkataan atau di hujung perkataan. Contohnya:- شَيْئًا- مَوْئِلاً- شَيْءٍ- الَّسَوْءِ  maka ketika Waqaf Imam Hamzah akan membaca dengan (naql)  شَيًا- مَوِلاً- شَيٍ- الَّسَوِ [28]
3.      Huruf Hamzah berbaris selepas huruf Mad Asli selain Alif. Ia berlaku sama ada di tengah atau di hujung perkataan. Contohnya:- السُوْآىسِيْئَتْوَجِيْءَلَتَنُوْءُ   maka ketika Waqaf  Imam Hamzah akan membaca dengan (naql) السُوَاىسِيَتْوَجِيَلَتَنُوُ   
4.      Huruf Hamzah berbaris selepas huruf Alif. Ia berlaku sama ada di tengah atau di hujung perkataan. Contohnya:- جَاءَكُمْالسَّمَاءُ maka ketika Waqaf bagi huruf Hamzah di tengah, Imam Hamzah akan membaca dengan Tashil Bain-Bain pada kadar dua harakat dan enam harakat manakala bagi huruf Hamzah di hujung akan dibaca dengan Ibdal huruf Mad dua, empat dan enam harakat.[29]
5.      Huruf Hamzah berbaris selepas huruf Waw Zaidah dan Ya Zaidah yang mati. Ia berlaku sama ada di tengah perkataan atau di hujung perkataan. Contohnya:- خَطِيْئَةقُرُوْء maka Imam Hamzah ketika Waqaf akan membaca dengan Ibdal Ma’ al-idgham menjadi خَطِيَّةقُرُوٌّ
c)      Huruf Hamzah yang berbaris terletak selepas huruf berbaris. Ia berlaku pada beberapa wajah.[30]
1.      Huruf Hamzah berbaris atas terletak selepas huruf berbaris bawah atau hadapan. Contohnya:-  نَاشِئَة- مُؤَذِّنmaka Imam Hamzah akan membaca ketika Waqaf dengan mengibdalkan Hamzah dengan Ya bagi baris bawah dan dengan Waw untuk baris hadapan. Menjadi- مُوَذِّن  نَاشِيَة
2.      Huruf Hamzah berbaris atas, bawah atau hadapan sebelumnya berbaris atas, bawah atau hadapan maka Imam Hamzah pada wajah-wajah ini membaca dengan Tashil Bain-Bain.[31]
d)      Waqaf Imam Hamzah pada perkataan رِءْيًا
Dalam surah Maryam Ayat 74  وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ هُمْ أَحْسَنُ أَثَاثًا وَرِئْيًا . Dalam kaedah terdahulu telah diterangkan bahawa apabila Hamzah mati terletak selepas huruf berbaris Imam Hamzah membaca dengan Ibdal  ketika Waqaf. Tetapi pada lafaz رِءْيًا ini berbeza kerana sekiranya diibdalkan akan berlaku pertembungan dua Ya, pertama mati dan kedua berbaris. Mengikut Imam Al-Syatibi pada perkataan ini boleh dibaca dengan dua wajah.[32]
  1. Izhar – Ya pertama pengganti Hamzah tidak diidghamkan kepada Ya kedua kerana Ya pertama merupakan ‘Arid maka seakan-akan Hamzah masih dianggap ada. Dengan demikian perkataan رِءْيًا  dibaca dengan رِيْيـًا.
  2. IdghamYa pertama pengganti Hamzah diidghamkan kepada Ya kedua kerana dalam perkataan tersebut terdapat dua Ya, pertama mati dan kedua berbaris maka menurut kaedah yang sedia ada ia perlu diidghamkan. Dengan demikian perkataan رِءْيًا  dibaca dengan رِيـًّا.
Namun demikian bagi Imam Hamzah masih terdapat beberapa kalimah lain yang menggunapakai kaedah رِءْيًا dengan dua wajah Izhar dan Idgham bagi huruf pengganti Hamzah. Ia berlaku pada huruf Waw dengan sebab yang sama:-
1.      وَتُؤْوِى - تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ surah al-Ahzab (33) Ayat: 51
2.      وَتُؤْوِيْهِ - وَفَصِيلَتِهِ الَّتِي تُؤْوِيهِ surah al-Ma’arij (70) Ayat:13[33]
e)      Waqaf Imam Hamzah pada perkataan أَنْبِئْهُمْ dan نَبِّئْهُمْ
Bacaan Waqaf Imam Hamzah pada perkataan ini seluruh al-Quran.[34] adalah dengan mengibdalkan huruf Hamzah kepada Ya' kemudian huruf Ha' boleh dibaca dengan dua wajah sama ada di baris bawah atau hadapan seperti:-
1.      أَنْبِئْهُمْ dibaca dengan أَنْبِيْهُمْ atau أَنْبِيْهِمْ
2.      نَبِّئْهُمْ dibaca dengan نَبِّيْهُمْ atau نَبِّيْهِمْ

f)       Waqaf Imam Hamzah pada huruf Hamzah yang berbaris hadapan terletak selepas huruf berbaris bawah atau sebaliknya.
Hamzah akan mengibdalkan huruf Hamzah kepada Ya atau sebaliknya mengibdalkan Hamzah kepada Waw.[35] Contohnya:-
  1. سَنُقْرِئُكَ  Hamzah Dammah sebelum berbaris kasrah dibaca dengan ibdal huruf Ya menjadi  سَنُقْرِيُكَ sesuai dengan Mazhab Imam Akhfasy.
  2. سُئِلُوا Hamzah kasrah sebelum berbaris Dammah dibaca dengan ibdal huruf Waw menjadi سُوِلُوا sesuai dengan Mazhab Imam Akhfasy.
  3. Diriwayatkan juga Imam Hamzah membaca dengan Tashil seperti Ya ( تسهيل كالياء ) iaitu antara bunyi Hamzah yang diDammahkan dengan Ya.  Begitu juga sebaliknya dibaca dengan Tashil seperti Waw ( تسهيل كالواو ) iaitu antara bunyi Hamzah yang dikasrah dengan Waw.
g)      Waqaf Imam Hamzah pada perkataan مُسْتَهْزِءُوْنَ dan seumpamanya
 Imam Hamzah akan membuang huruf Hamzah (حذف الهمزة) dan huruf sebelumnya akan diDammahkan. Maka Imam Hamzah akan mambaca dengan مُسْتَهْزُوْنَ  . Kesimpulannya Hamzah mempunya 3 wajah pada perkataan ini iaitu Tashil Bain-Bain, Ibdal Yadan Hadhf.[36]
h)      Waqaf Imam Hamzah pada huruf Hamzah di awal kalimah yang sebelumnya dimasukkan huruf zaidah.
 Bentuk-bentuk huruf Zaidah[37] itu ialah:-
  1. Ha’ Tanbih seperti هَـؤُلاَءهاَءَنْـتُمْ
  2. Ya Nida seperti  يَاِبْرَاهِيْميَاءَيـُّهَا
  3. Lam seperti  لِئَلاَّلأَنْـتُمْ
  4. Ba seperti  بِأَنَّهُمْلَبِاءِمَام
  5. Waw  seperti  وَأَبْقَىوَأَبْصَارهم
  6. Fa  seperti فَأَمِنُوافَإِذَا
  7. Kaf  seperti كَأَنَّهُمْكَأَلْفِ سَنَةٍ
  8. Sin seperti سَأَصْرِفُسَأَوِى
  9. Hamzah seperti اَأَنْذَرْتَهُمْاَؤُنَبِّئُكُمْ
  10. Lam Ta’rif seperti الأَرْضالأَخِرَة
Imam Hamzah membaca dengan 2 wajah ketika Waqaf pada huruf zaidah yang disebut di atas. Pertama membaca dengan Takhfif Hamzah iaitu sama ada Tashil Bain-Bain, Ibdal, Naqal atau Hadhf seperti yang disebut sebelum ini kerana membayangkan bahawa huruf Hamzah berada di tengah-tengah manakala wajah kedua dibaca dengan Tahqiq Hamzah kerana membayangkan huruf Hamzah adalah di awal kalimah.[38]
i)        Waqaf huruf Hamzah berbaris di akhir perkataan dengan sukun.
Sekiranya di hujung perkataan tersebut tidak diibdalkan dengan huruf Mad maka bagi Imam Hamzah ia boleh dibaca dengan Isymam dan Raum. Terdapat tiga keadaan bagi Imam Hamzah yang dibaca dengan Isymam dan Raum.[39] 
  1. Dinaqalkan baris Hamzah kepada huruf sebelumnya (Sakin Sahih, Mad dan Lin) seperti  المَرْءُالمُسِيْئُشَـيْئٌ Imam Hamzah membaca dengan Raum dan Isymam.
  2. Diibdalkan huruf Hamzah dengan Waw seperti  قُرُوْءٌتَفْتَؤُ Imam Hamzah membaca dengan Raum dan Isymam.
  3. Diibdalkan huruf Hamzah dengan Ya' seperti النَّسِيْئُيُنْشِئُيَسْتَهْزِئُ  Imam Hamzah membaca dengan Raum dan Isymam.
j)       Waqaf huruf Hamzah berbaris di akhir kalimah dengan Tashil Bain-Bain Bi al-Raum.
Huruf Hamzah hendaklah berbaris Dammah dengan i'rab rafa' atau berbaris Kasrah dengan i'rab jar. Contohnya مِنَ السَّمَاءِيَشَاءُ

Kesimpulan
Pada keseluruhannya Imam Hamzah mempunyai wajah waqaf yang berbeza-beza berdasarkan kepada keadaan tertentu. Namun demikian wajah-wajah ini adalah tertakluk kepada empat wajah yang utama iaitu Ibdal, Naql, Tashil Bain-Bain dan Hadhf atau Isqat. Di dalam mempelajari ilmu Qira'at, Waqaf Imam Hamzah merupakan salah satu tajuk yang agak unik dan menarik untuk difahami. Kesemua bentuk bacaan Waqaf yang disenaraikan merupakan sesuatu yang mutawatir datangnya dari Rasulullah s.aw. Dengan adanya ulama-ulama Qira'at yang mengambil berat tentang bentuk-bentuk bacaan ini maka akan terpeliharalah kesucian dan kemutawatiran al-Quran secara syumul. Di samping itu dengan adanya kepelbagaian bacaan al-Quran ini menunjukkan bahawa al-Quran ini bukanlah ciptaan Muhammad bin Abdullah, malah ia melambangkan bahawa al-Quran itu benar-benar datangnya dari tuhan yang Esa iaitu Allah s.w.t. Keunikan bacaan Qira'at Hamzah ini perlu dipelajari secara talaqqi dan Musyafahah bagi memastikan ketepatan kaedah dan bunyi apabila dibacakan.


[1] Calon Ijazah Ph.D. Jabatan al-Quran Dan al-Hadith merangkap Tutor Jabatan Al-Quran.
[2] Sabir Hasan Muhammad (1995), Kasf al-Diya' Fi Tarikh al-Qira'at Wa al-Qurra', Riyadh: Dar 'Alim al-Kutub, h.121.
[3]  'Abd al-Fattah al-Qadi (1984), Tarikh al-Qurra' al-'Asyarah Wa Ruwatihim, Kaherah: al-Maktabah al-'Ammah, h.7.
[4] Ibid., h. 42-43.
[5] Syams al-Din Ahmad bin Muhammad bin Abi Bakr Ibn Khalikan (t.t.), Wafayat al-A`yan Wa Anba’ Abna’ al-Zaman, j. 2. Beirut: Dar Sadir, h. 216.
[6] Khair al-Din al-Zirikli (1893), al-A`lam Qamus Tarajum Li Asyhur al-Rijal Wa al-Nisa' Min al-'Arab Wa al-Mustaqribin Wa al-Mustasyriqin, j. 2. Beirut: Dar al-`Ilm li al-Malayin, h. 277.
[7] Ibn 'Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin 'Uthman al-Dhahabi (1990), Siyar A`lam al-Nubala’, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, h. 90.
[8] Ibn 'Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin 'Uthman al-Dhahabi (1995), Mizan al-I`tidal Fi Naqd al-Rijal, Beirut: Dar al-Fikr, h. 605.
[9] Al-Zirikli (1893), op.cit., h. 277.
[10] Al-Dhahabi (1990), op.cit., h. 90.
[11] Ibn Khalikan (t.t.), op.cit., h. 216.
[12] Ibid., h. 277.
[13] Ibid.
[14] Al-Dhahabi (1995), Mizan al-I`tidal Fi Naqd al-Rijal, op.cit., h. 605.
[15] Abi Hafs 'Umar bin Qasim bin Muhammad al-Muqri' al-Ansari (2001), Al-Mukarrar Fima Tawatur Min Al-Qira'at Al-Sab', Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 24. ; Syams al-Din bin Muhammad bin Muhammad bin al-Jazari (1932), Ghayah al-Nihayah Fi  Tabaqat al-Qurra’, Misr: Maktabah al-Khayriyyah, h. 261-263.
[16] Ibn 'Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin 'Uthman al-Dhahabi (1995),  al-`Ibar Fi Khabar Man Ghabar, Tahqiq: Dr. Salah al-Din al-Munjid, Kuwayt: al-Turath al-`Arabi, h. 226.
[17] Ahmad bin 'Ali bin Hajr al-'Asqalani (1984), Tahdhib al-Tahdhib,  j. 3. India: Matba`ah Majlis Da’irah al-Ma`arif al-Nizamiyyah, h. 27.
[18]Al-Daniy (1930), op.cit., h. 9.; Al-Ansari (2001), op.cit., h. 24.
[19] Isma’il Basya al-Baghdadi (1951), Hadiyah al-`Arifin, j. 5. Baghdad: Maktabah al-Muthanna, h. 87.
[20] Ibid.
[21] Ibid.
[22] Ibid., h. 169.
[23] Abu al-Farah (1413H), op. cit., h. 96.
[24] al-Ru'ayniy (2000), op. cit., h. 49.
[25] Ahmad Fathoni (2005), op. cit., h. 171.
[26] Ibid., h. 172.
[27] Abu al-Farah (1413H), op. cit., h. 105.
[28] Ibid.
[29] Ibid.
[30] al-Ru'ayniy (2000), op. cit., h. 51.
[31] Al-Qasim bin Firah bin Khalaf al-Syatibiy (1407H), Hirz Al-Amaniy, Beirut: Dar al-Kitab al-Nafis, h. 16.
[32] al-Ru'ayniy (2000), op. cit., h. 49.
[33] Ibid., h. 50.
[34] Ibid.
[35] Al-Daniy (1984), op. cit., h. 40.
[36] Ibid.
[37] Ahmad Fathoni (2005), op. cit., h. 191.
[38] Ibid., h. 192.
[39] Ibid., h. 195.
 

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments