Thursday 22 April 2021

Qariah Lagenda Malaysia Hajjah Faridah Mat Saman

Puan Guru Dato' Hajah Faridah Mat Saman ( 1948 - Kini )

Oleh : Tengku Yusuff

Puan Guru Hajah Faridah Mat Saman dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 29 Oktober 1948. Beliau merupakan Johan Qariah Majlis Tilawah al-Qur’an Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sebanyak lapan kali. 

Bapanya, iaitu Allahyarham Mat Saman Bin Haji Abdul Rahman berasal daripada Pasir Mas, Kelantan. Manakala ibunya, Allahyarham Hajah Che Yam Binti Che Had adalah bekas Johan Qariah Kebangsaan yang pertama kali diadakan iaitu pada 1960. Puan Guru Hajah Faridah merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.

Bakat dan kebolehan beliau mula dikesan apabila menunjukkan kemampuan untuk mengkhatamkan al-Quran sejak berusia lima tahun lagi. Beliau juga menunjukkan kebolehan dalam bidang tarannum sebagaimana yang diwarisi daripada datuknya yang juga merupakan guru taranumnya terawal iaitu Tuan Guru Haji Abdul Rahman @ Che Man dan nendanya Zainab Binti Osman. Tuan Guru Haji Che Man ini berasal dari Kelantan lalu berhijrah ke Temerloh, Pahang dan membuka sebuah pondok pengajian di Lubuk Kawah.

Puan Guru juga mendapat didikan daripada Guru al-Quran yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Pergau Bin Mat Som. 

Puan Guru Hajah Faridah mendapat didikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Mas (kini SK Sultan Ibrahim II) dan kemudian meneruskan pengajian di Pondok Mundok, Narathiwat, Thailand pada usia 13 tahun. Demi minatnya dalam bidang tarannum, beliau telah berguru dengan seorang ulama' terkenal Indonesia, iaitu Tuan Guru Haji Ghazali Mundok dan dua orang Guru al-Qur’an yang masyhur di Malaysia, iaitu Tuan Guru Dato' Haji Nik Jaafar Bin Nik Ismail dan Tuan Guru Haji Hassan Musa dari Pasir Mas, Kelantan.

Senarai guru-gurunya adalah :

1. Tuan Guru Haji Abdul Rahman - datuknya
2. Hajah Zainab Binti Osman - neneknya
3. Hajah Che Yam Binti Che Had - ibunya
4. Tuan Guru Haji Ahmad Ma’Som Pergau
5. Tuan Guru Haji Ghazali Mundok @ Tok Mundok
6. Tuan Guru Dato' Haji Nik Jaafar
7. Tuan Guru Haji Hassan Musa Pasir Mas

Beliau telah dianugaerahkan Panglima Jasa Negara (P.J.N.) oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Persekutuan 2016 bersempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka baginda pada 6 Jun 2016 yang membawa gelaran Dato'.

Berikut adalah senarai kejayaan Puan Guru Hajah Faridah Mat Saman di Majlis Tilawah al-Qur’an Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa :

1. Naib Johan Qariah Peringkat Kebangsaan 1963
2. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1964
3. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1965
4. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1972
5. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1976
6. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1977
7. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1989
8. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1990
9. Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1991

Puan Guru Hajah Faridah yang berusia 73 tahun (2021) kini menetap di Lorong Marican, sebelah Sekolah Sri Aman Kot Bharu (Belakang Bilion Kota Bharu).

Moga Allah Taala mengurniakan kesihatan yang baik kepada Puan Guru. Amin

*Sumber -  http://hanifhizam.blogspot.com/2018/05/biodata-datuk-puan-hajjah-faridah-mat.html?m=1

#KenaliUlamak

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments