Monday 26 December 2016

Mustafa Ismail Qori DiRaja

https://m.youtube.com/watch?v=mEUYU0xJrvU


Syeikh Mustafa Qari Diraja Mesir

Oleh: Khairul Anuar Bin Mohamad

MESIR adalah satu negara yang mempunyai ramai qari yang masyhur. Secara umumnya negara Mesir yang dibuka oleh Amru Ibn al-As ra di zaman Umar Ibn al-Khattab ra adalah tempat pengajian al-Quran yang terulung.

Ramai ulama al-Quran yang menghasilkan penulisan berkaitan Tajwid, Qiraat dari Mesir antaranya; Syeikh al-Mutawalli, Syeikh Ali Dabba', Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi, Syeikh Amir Sayyid Uthman dan lain-lain.

Dalam bidang pengajian al-Quran secara bertarannum pula Mesir mendahului negara Islam. Ramai qarinya yang masyhur dan mampu mempersembahkan bacaan yang menarik dan memukau.

Jika ditanya bagaimana sedapnya suara yang membaca al-Quran ini cukuplah dengan fakta di mana terdapat mereka yang mengucap dua kalimah syahadah selepas mendengar bacaan al-Quran mereka.

Ramai di kalangan qari Mesir mempunyai pakej lengkap. Suara yang merdu, tajwid yang kemas, fasahah yang mantap, memahami makna al-Quran, menghafaz al-Quran dan gaya persembahan yang menarik telah menjadikan bacaan al-Quran mereka terus masuk ke dalam kalbu pendengar.

Salah seorang qari yang menempa namanya di peringkat antarabangsa dan mempunyai suara merdu dan mempunyai legenda tersendiri ialah Syeikh Mustafa Ismail. Beliau dilahirkan pada 17 Jun 1905. Mendapat pendidikan al-Quran daripada ramai guru antaranya; Syeikh AbduRahman Abu al-Aynain, Syeikh Muhammad Hashis dan Syeikh Idris Fakhir. Sebagai makluman kepada qari di Malaysia, Syeikh Mustafa Ismail khatam al-Quran di hadapan gurunya Syeikh Fakhir sebanyak 30 kali.

Gaya bacaan yang dibawa oleh Syeikh Mustafa dan suaranya yang unik menjadikan bacaannya berlainan dengan bacaan qari lain ketika itu. Ketika gurunya, Syeikh Mustafa Murawwaj mendengar bacaannya, beliau terpegun dan berkata itu adalah ilmu berkaitan bacaan al-Quran, suara kamu amat merdu. sejak dari itu, setiap kali bermulanya pengajaran gurunya akan mengarahkannya membaca al-Quran.

Nama Syeikh Mustafa menjadi sebutan di kalangan masyarakat Mesir apabila beliau membaca al-Quran di majlis ma'tam(bacaan al-Quran selepas pengkebumian jenazah).

Beliau menceritakan kisah tersebut berlaku di mana qari utama yang mulakan bacaan al-Quran ialah Syeikh Muhammad Salamah. Ramai pendengar yang menjadi peminat Syeikh Salamah dan mereka akan beredar meninggalkan majlis sejurus selepas tamatnya bacaan Syeikh Salamah.

Sudah menjadi kebiasaan, qari yang membaca al-Quran selepas Syeikh Salamah, pendengarnya hanya kerusi sahaja. Malam pertama, bacaan al-Quran dimulai pada jam 8 malam oleh Syeikh Salamah dan bacaanya berakhir pada pertengahan malam. Sejurus selesai bacaannya, tanpa berlengah Syeikh Mustafa memulakan bacaan di waktu sudah ramai pendengar berlalu meninggalkan majlis.

Apabila mereka mendengar suara Syeikh Mustafa ada yang kembali ke tempat duduk dan ada yang berdiri. Semakin tinggi suara Syeikh Mustafa mengalunkan ayat al-Quran semakin ramai yang datang dan mula memenuhi tempat duduk.

Akhirnya ramai yang datang dan semua tempat duduk dipenuhi. Alunan suaranya yang unik dan kemantapannya membaca al-Quran mampu mengekalkan pendengar berada di tempat duduk sehingga ke jam 4.30 pagi.

Seterusnya, Syeikh Mustafa menjadi qari di Radio Quran Mesir. Surah pertama yang dibaca ialah surah al-Tahrim. Namanya melonjak naik dan menjadi sebutan penduduk Mesir. Setiap Ramadan, dari tahun 1943 hingga tahun 1952, Syeikh Mustafa bersama Syeikh Abu al-Aynayn dijemput membaca al-Quran di hadapan Raja Mesir, King Fuad dan para menterinya. Bacaannya disiar secara langsung melalui Radio Al-Quran Mesir.

Banyak kisah menarik berkaitan qari legenda ini yang telah dibukukan untuk menjadi panduan kepada qari selepasnya. Selepas menjadi khadam kepada al-Quran dan menyebar al-Quran melalui kelunakan suaranya pada tahun 1978, Syeikh Mustafa Ismail kembali menghadap Allah SWT.

Berita kematiannya mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa. Seorang mufasir terkenal Syeikh Mutawali Sya'rawi telah menyampaikan ucapan sebelum jenazah Syeikh Mustafa Ismail disemadikan.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments