Saturday 23 July 2016

MAULANA LAMBAK

-ULAMA' HADITH YANG SANGAT ALIM DAN JARANG DI KENALI-

Mari kita tilik kisah dan sejarah Ulama' Hadith yang sebenar ini.

Hari ini kita kenalkan kepada Malaysia seorang ulama' Terengganu yang masih hidup, tidak dikenali oleh orang awam di negara sendiri, tetapi mendapat pengiktirafan oleh Maulana di Darul Uloom Deoband. Junior TG Nik Abdul Aziz di Deoband.

Mungkin bagi yang tidak kenal, beliau hanya dianggap pakcik kampung atau ustaz, imam kampung yang biasa-biasa sahaja. Tetapi, inilah seorang anak melayu yang pernah menjadi pelajar kedua terbaik di Darul Uloom Deoband. Seorang yang tawadhuk tidak inginkan kemahsyurah. Inilah sikap ulama' hadis sebenar.

Telah khatam 6 kali mengajar Sahih Bukhari yang mengambil masa 6 tahun untuk sekali khatam. Jom ambil kesempatan ini.

Jom ikuti kisah MAULANA LAMBAK ini,
-diceritakan Ustaz Zaharudin Nawi Qasim:

Seperti yang disebut sebelum ini pertama kali saya mendengar nama Lambak ialah daripada guru saya sendiri Maulana Said Palnpuri ketika saya dan Roselan menziarahi beliau di rumahnya. Pada tahun 2004 sebaik sahaja pulang ke tanahair saya bertanya khabar tentang nama beliau tetapi tidak ada yang mengetahui.

Pada tahun 2009 setelah saya menziarahi Deoband saya membawa balik buku daftar Darul Uloom Deoband yang menyimpan nama-nama pelajar luar negeri mereka yang lama-lama. Saya dapati nama Lambak ada tertera di dalamnya. Ini memudahkan saya mencarinya kerana disertakan bersama alamat Maulana. Apabila Al-Akh Lotfi Yusuf dapat menjadi lecturer di UniSZA beliau memberitahu saya Maulana Lambak mengajar di surau TGH Abbas dan beliau ada juga mengikuti pengajiannya.

Kami dipelawa untuk masuk. Nampaknya Maulana tidak banyak protokol. Walaupun umur sudah menjangkau 80 tahun Maulana kelihatan kuat dan sihat. Sebelum ini saya terfikir-fikir bagaimana hendak bercakap dengan orang yang sudah lanjut usianya. Tentu dia penat. Tentu dia kurang dengar. Tentu dia cerewet. Tapi semua anggapan itu meleset. Maulana kelihatan kuat, pendengaran masih baik dan tidak cerewet.

PERMULAAN KE INDIA

Maulana pergi ke India pada tahun 1955 ketika berusia 19 tahun. Beliau menaiki kapal laut dari Singapura bersama dengan 9 orang pelajar lain ke Calcutta. Perjalanan mengambil masa 2 hari untuk sampai ke Calcutta. Dari Calcutta menaiki keretapi yang mengambil masa 3 hari 3 malam terus ke Deoband.

Sebelum ke Deoband Maulana sudahpun alim. Banyak kitab yang telah dipelajari di merata-rata pondok termasuklah pondok-pondok di Kelantan. Beliau adalah anak murid Tok Guru Hj Abbas satu zaman dengan TGH Abdul Aziz Nik Mat. TGH Nik Aziz  senior beliau dan pergi ke India lebih awal. Maulana mengakui TGH Nik Abdul Aziz sudahpun alim sebelum pergi India lagi dan juga seorang yang fasih bertutur bahasa Arab. Kalau dalam bidang Nahu Maulana sudahpun mempelajari kitab setinggi Syarah Ushmuni oleh Ali b. Muhammad b. Isa. Kalau Fekah sudahpun mempelajari Mahalli. Maulana masih mengingati tokoh-tokoh ulama dan pusat-pusat pengajian agama di Kelantan semasa beliau berada di situ. Malah beliau masih mengingati nama-nama anak beranak tokoh-tokoh ulama tersebut. Begitu juga kisah-kisah yang tidak jemu telinga mendengarnya. Antaranya anak-anak Tok Khurasan (1875-1944) dan mereka yang menjadi anak murid Tok Khurasan dan Tok Guru Haji Abbas (w.1997) seperti  Ustaz Yusuf Zaki Yakob (1928-1999). Maulana mengisahkan bagaimana Tok guru Haji Abbas suatu hari pergi ke rumah Ustz Yusuf Zaki dalam keadaan kaki yang penuh dengan selut (lumpur). Kerana menghormati Tok Guru Ustz Yusuf Zaki terus mempelawa Tok Guru masuk tanpa harus membasuhnya. Saya buat rumah ini untuk Tok guru, tok guru masuklah sampai ke katil sekalipun, pijak kapet sekalipun. Kata ustaz Yusuf Zaki.

GURU MAULANA LAMBAK DI DEOBAND

Antara guru-guru Maulana pada waktu itu ialah:
Maulana Fakhrudin Ahmad ((1889-1972))- Bukhari
Maulana Mohd Ibrahim Balyawi (1886-1967)- Tirmizi, Muslim
Maulana Syed Fakhrul Hasan (1905-1967)– Baidawi, Abu Daud
Maulana Naim –Sullam, Mukhtasar Ma`ani
Maulana Mian Asghar  Husein- Hidayah 1.
Maulana Mirajul Haq – Hidayah 2 (Saya sempat menemui beliau ketika berada di Deoband tahun 1989)
Maulana Qari Tayyib (1897-1983)- Hujjatullah Balighah
Maulana Mohd Salim- Tarjamatul Quran
Maulana Anzar Shah (1929-2008)- Tarjamatul Quran
Maulana Nasir Ahmad Khan (1918-2010)-Jalalain

Menurut maulana Mufti Darul uloom waktu ialah Maulana Mahdi Hasan (1883-1976). Mufti Mahdi pandai bertutur bahasa Arab tetapi kata Maulana dia tak pandai mengajar. Dia mempunyai daya ingatan yang kuat. Maulana yang pandai mengajar pada waktu itu ialah Maulana Fakhrulhasan. Saya mencelah: "Saya mengakuinya kerana saya memilki kitab syarah Baidawi dalam bahasa Urdu yang ditulis oleh Maulan Fakhrulhasan. Gaya penyampaiannya mudah dan teratur".

KEJAYAAN MENJADI PELAJAR TERBAIK

Maulana-maulana yang menjadi Sheikhul hadith kami pada waktu saya di Deoband (1989-2004) adalah maulana-maulana yang hanya mengajar kitab-kitab bawah sahaja di zaman Maulana Lambak seperti Maulana Naim (w.2007), Maulana Anzar Shah (w.2008), Maulana Nasir Ahmad Khan (w.2010) dan Maulana Salim (hayat).

Tahun akhir yang diduduki oleh Maulana, yang merupakan tahun pengajian hadith secara seratus peratus, mempunyai sebanyak dua ratus lebih orang pelajar. Dalam peperiksaan akhir Maulana Lambak telah berjaya mendapat tempat yang kedua. Tempat pertama diduduki oleh Maulana Said Palanpuri (guru saya). Ketiga oleh Maulana Fakhruzaman (adik guru kami Maulana Wahiduzaman Kiranawi). Maka tidak heranlah Maulana Said memberitahu saya bahawa Lambak seorang yang sangat pintar (woh bahut zahin hai).

PULANG KE MALAYSIA

Maulana berkawin dengan anak TGH Abbas dari isterinya yang kedua. TGH Abbas seorang yang berharta. Beliau memberikan tanahnya untuk Maulana mendirikan rumah berdekatan dengan rumah  dan surau beliau. Kemudian Maulana bekerja dengan kerajaan sehinggalah pencen pada usia 55 tahun. TGH abbas juga mewasiatkan kepadanya agar menyambung tugasnya mengajar kerana orang lain tidak mempunyai kecenderungan untuk mengajar walaupun menjadi anak muridnya. Selepas itu Maulana mula mengajar di surau tersebut dan di masjid-masjid. Sehingga kini Maulana telah berjaya menamatkan 6 kali pengajian Bukhari. Setiap kali khatam mengambil masa 6 tahun. Maulana juga mengajar kitab Fekah Syafie bawahan, Muhazzab, Al Um, Tafsir Baidawi dan banyak lagi kitab. Kata Maulana Deoband adalah lubuk ilmu dan tempat yang berkat. Maulana-maulana yang ada di situ semuanya berkat sebab itulah semua kitab dapat dikhatamkan dalam masa yang singkat. Kita semua sibuk dengan dunia. Maulana Deoband juga mempunyai banyak keramat menurut Maulana. Antaranya kisah ruangan kosong dalam kelas Daurah Hadith, dari turun temurun dikosongkan antara kedudukan maulana yang mengajar dengan pelajar-pelajar yang duduk di hadapan. Katanya ruangan itu khas untuk jin. Antarnya seorang pelajar  pintar sengkatan dgn Maulana yang hilang ilmunya dek kata-kata seorang guru dengan nada kemarahan akan mengambil semua ilmu yang ada padanya kerana derhaka ia kepada guru.

untuk tulisan penuh, gambar dan sanad, baca di http://ihyaaturaathina.blogspot.my/2013/09/kembara-deoband-best-student-darul.html

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments