Tuesday 17 November 2009

PERKEMBANGAN ILMU TAJWID DI TANAH MELAYU

Disediakan oleh : Ustazah Wan Noriyah Bt Wan Deris, Pasir Puteh Kelantan.
PENDAHULUAN

Al-Quran adalah kalam Allah s.w.t yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai mukjizat, diturunkan secara mutawatir, membacanya adalah satu ibadah dan ianya bermula dari surah al-fatihah dan berakhir dengan surah an-nas. Membaca al-Quran adalah ibadah, dan pembacaannya mestilah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t sepertimana firmanNya dalam surah al-muzammil ayat ke empat yang bermaksud:

"ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan “Tartil”. (perelokkan sebutan dan mengetahui tempat waqaf).

Hal ini dijelaskan lagi oleh rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang berbunyi “

خُذُوا الْقُرْءَانَ مِنْ أَرْبَعَةٍ مِنْ عَبْدُاللهِ بْنِ مَسْعُودٍ وَ سَالِمٍ وَمُعَاذٍ بْنِ جَبَلٍ وَاُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ

Bermaksud : Ambillah al-Quran dari empat orang iaitu Abdullah ibn Masud, Salim, Muadz dan Ubai ibn Ka’ab.
Ulamak telah meletakkan garis panduan yang masyhur dalam pengriwayatan dan rukun bacaan al-Quran. Rukun-rukun bacaan al-Quran yang telah disepakati oleh para ulamak adalah seperti berikut:
1. Hendaklah dari sanad yang sahih, ianya diriwayatkan oleh seorang yang adil dan kuat ingatan serta bersambung sanadnya kepada rasulullah s.a.w tanpa keganjilan dan kecacatan yang mengaibkan.
2. Ianya menepati bahasa ِArab walaupun satu wajah atau bentuk. Bacaan tersebut hendaklah menepati kaedah bahasa Arab yang fasih dan disepakati dan kalaupun ada percanggahan ianya tidaklah memudaratkan.
3. Menepati salah satu mushaf Uthmani dari segi bacaannya. Ianya hendaklah pasti wujud pada salah satu mushaf walaupun tidak ada dalam mushaf Uthmaniyah yang lain.

Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang mempunyai banyak kelebihannya. Orang yang selalu membaca al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat, di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca al-Quran, kelebihan melimpah juga diberi kepada kedua ibubapanya. Ini diakui sendiri oleh rasulullah s.a.w melalui hadisnya yang berbunyi

عَنْ مُعَاذٍ الجُهَينِيْ قَالَ : قَا لَ رَسُولُ اللهِ (ص) : مَنْ قَرَأَ القُرْءَانَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَأجٍا يَوْمَ الٌِيَامَةِ ضَؤْؤُهُ اَحْسَنَ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِى بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِى عَمِلَ بِهذَا
Ertinya : “ Dari Muadz al-Juhani telah berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w “ Sesiapa yang membaca al-Quran dan diamalkan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi dari cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya”.

Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t di hari kiamat. Ini berpandukan hadis Rasulullah yang berbunyi:

عَنْ سَعِيْدٍ سَلِيْمٍ مُرْسَلاً قَا لَ رَسُولُ اللهِ (ص) : مَا مَنْ شَفِيعٍ أَفْضَلَ مَنْزِلَةً عِنْدَ اللهِ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنَ القُرْءَانِ , لاَ نَبِىُّ وَلاَ مَلَكٌ وَلاَ غَيْرُهُ
Ertinya: “ Dari Sa’id Salim secara mursal telah berkata, telah berkata Rasulullah s.a.w “ Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya”.
Membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan orang yang taat. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “ Sesiapa yang mendengarkan satu ayat daripada al-Quran, ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya di hari kiamat.

Pada keseluruhannya pahala membaca al-Quran sangat banyak dan terlalu besar bagi umat Islam yang membaca dan mengamalkannya. Walhal bacaan dalam solat dan berwuduk juga akan mendapat balasan pahala dari Allah. Pahala membaca al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf adalah seratus kebajikan dan semasa berwuduk pula mendapat sepuluh kebajikan.


(Bersambung di bahagian dua)
Pengenalan Ilmu Tajwid dan periwayatan yang digunakan di Malaysia.

Nota Penghargaan: Terima kasih kepada Ustazah Wan Noriyah Bt Wan Deris yang telah membenarkan hasil kerja beliau ini disiarkan di blog ini untuk menjadi rujukan kepada sesiapa saja.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments