Thursday 13 September 2018

Toriq Tayyibah an-Nasr

Toriq Tayyibah an-Nasr

Istilah yang selalu bermain dibibir pembaca al-Quran adalah Toriq Syatibiy dan Toriq Jazari atau disebut juga Toriq Tayyibah dalam sudut bahasa bermaksud jalan.

Dalam ilmu tajwid dan qiraat, istilah Toriq biasanya diterang maksudnya selepas huraian makna Imam dan Rawi.

Bacaan yang dinasabkan kepada Imam di kalangan Sepuluh Imam Qiraat dipanggil qiraat. Bacaan yang dinasabkan kepada perawi yang mengambil bacaan tersebut daripada Imam dipanggil riwayat dan setiap yang dinasabkan kepada yang mengambil dari perawi walaupun di zaman mutakhir dinamakan toriq.

Sebagai contoh al-Quran yang ada pada hari ini ialah mengandungi riwayat Hafs mengikut Qiraat Imam Asim melalui Toriq Syatibiy.

Antara cara bacaan Toriq Syatibiy adalah empat harakat atau disebut tawasut pada hukum mad wajib muttasil seperti dan juga mad jaiz munfasil seperti. Bagi mereka yang mendalami secara serius ilmu tajwid mereka selalu berjumpa istilah Toriq Tayyibah atau Toriq Jazari.
Antara kaedah bacaan toriq jazari ialah membaca dua harakat atau disebut Qasar pada hukum mad jaiz munfasil.
Dinamakan Toriq Tayyibah adalah bersumberkan kitab karangan oleh Imam Ibnu al-Jazari (meninggal 883 hijrah) yang bertajuk Tayyibah an-Nasyr. Matn Tayyibah ini disusun dalam bentuk syair berjumlah 1,015 rangkap. Merangkumi usul Sepuluh Qiraat bersama Farsy untuk 30 juzuk al-Quran.

Kealiman Ibnu al-Jazari dalam ilmu qiraat yang begitu tinggi menjadi rujukan ulama sezamannya, menguasai sanad al-Quran daripada guru al-Quran tersohor di Damsyik, Madinah dan juga Mesir.
Beliau menghasilkan banyak penulisan yang bersifat kreatif dan tidak hanya mengikut atau menukil tulisan ulama terdahulu.

Beliau mengkaji sanad qiraat, adakah menepati bahasa Arab dan menepati nas sebagaimana mushaf Uthmani.
Lantas beliau mendapat natijah bahawa qiraat Abu Ja'afar, Ya'kub dan Khalaf al-Asyir berada dalam kumpulan qiraat yang mutawatirah sama dengan tujuh qiraat yang dipilih Ibnu Mujahid (meninggal 324 hijrah).

Ulama menamakan Tujuh Qiraat yang terkandung dalam Matn Syatibiy bersama Tiga Qiraat yang terkandung dalam Matn Durrah al-Mudhiah sebagai Asyarah Sughra. Sementara Matn Tayyibah yang menghimpunkan sekali gus Sepuluh Qiraat dinamakan Asyarah Kubra,
Matn Tayyibah sebenarnya ringkasan dalam bentuk syair yang dikarang oleh Imam Ibnu al-Jazari bersumber dari kitabnya al-Nasyr fi al-Qiraat al-Asyr. Kitab al-Nasyr ini merupakan satu kitab yang lengkap dalam perbahasan ilmu qiraat merangkumi imam-imam qiraat, perawi dan toriq. Jumlah toriq yang dikumpulkan dalam al-Nasyr secara tahqiq berjumlah 80 toriq. Daripada 80 toriq ia bercambah dan berkembang kepada 980 toriq. Ibadah al-Jazari pernah menyatakan barang siapa menyangka ilmu qiraat sudah lupus, katakanlah kepadanya al-Nasyr menghidupkannya kembali.
Kenyataan ini menunjukkan perbahasannya meliputi seluruh bab dalam ilmu qiraat dan mampu menghidupkan kembali ilmu qiraat yang lupus dan yang tidak diamalkan lagi.
Namun begitu, bagi yang ingin membaca riwayat Hafs dari Toriq Tayyibah perlu kepada talaqqi dan musyafahah dengan guru. Ini kerana terdapat beberapa hukum yang wajib diraikan jika membaca mad jaiz munfasil dengan kadar dua harakat.
Selain itu, Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi menyatakan Toriq Tayyibah diamalkan bagi mereka yang mahir dalam ilmu tajwid kerana beberapa hukum yang perlu dilakukan.

Kepada orang awam disarankan kepada mereka membaca al-Quran mengikut Toriq Syatibiy.
Apabila ditanya bekas Mufti Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Muhammad Nor yang terkenal alim dalam ilmu qiraat tentang bacaan dua harakat untuk mad jaiz, beliau menjawab: "Setiap mad jaiz yang ada dalam al-Quran ditandakan dengan alamat mad yang membawa maksud membacanya dengan empat harakat".

Justeru al-Quran memang dicetak mengikut Toriq Syatibiy yang perlu membaca mad jaiz dengan empat harakat.

Jawapan yang ringkas dan tepat ini amat sesuai diaplikasikan oleh umat Islam. Namun bagi mereka yang mempunyai maklumat berkaitan Toriq Tayyibah dan mendalami hukum yang wajib dipelihara ketika membacanya daripada kitab tajwid serta mendapat tunjuk ajar daripada guru yang mahir maka diizinkan kepadanya mengamalkan Toriq Tayyibah.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments