SAKSIKAN AKADEMI AL-QURAN (AQ) DI TAHUN BARU 2010



PROGRAM realiti Akademi al-Quran (AQ) yang mendapat sambutan ramai sehingga mencapai 1.4 juta penonton akan kembali di TV9.

Ia adalah sebahagian daripada usaha TV9 untuk mengukuhkan jenamanya dalam industri penyiaran. Program AQ musim terbaru nanti dijangka lebih mantap bagi memastikan ia dapat memberikan kesan besar kepada penonton.

Selain AQ, program kanak-kanak juga adalah penyumbang terbesar kepada jumlah penonton TV9 , kira-kira 30 peratus menerusi slot yang disiarkan jam 2 petang hingga 7 malam. Sementara program agama pula berada di belakangnya sebanyak 20 peratus.

Sempena 2010, isi kandungan TV9 diperbanyakkan dengan program berteraskan hiburan. Bagaimanapun, kuantiti program berunsur keagamaan, kerohanian atau ilmiah tidak dikurangkan.

Ketua Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin, menjelaskan TV9 tidak tersasar daripada konsep asalnya selepas hampir empat tahun bertapak dengan fokus utamanya kepada penonton Melayu.

“Kami masih kekal dengan konsep sama moden kontemporari. Oleh kerana kebanyakan penonton kami berasal dari luar bandar disebabkan program yang diperkenalkan di awal penubuhan TV9 dulu lebih bercirikan tradisional, ramai mengatakan kami tersasar dari konsep asal. Sebenarnya tidak. Ini kerana kami masih dengan sasaran kepada penonton Melayu, tidak kira bandar mahupun luar bandar.

“Bermula dari tahun lalu, kami perkenalkan banyak program baru, manakala program yang menjadi nadi kekuatan TV9 pula dikekalkan seperti Akademi Al Quran. Kami juga tidak pernah melupakan penonton kanak-kanak dan muda,” katanya di sidang media memperkenalkan program yang bakal mewarnai TV9 sepanjang 2010.

Sempena tahun baru TV9 memperkenalkan slot Ratu bagi drama kekeluargaan, Skuad untuk drama yang berkonsepkan badan berpakaian seragam, Adik di 9 bagi program kanak-kanak. Antara program baru dan lama tetapi diberikan nafas ialah Ekspedisi Chef Wan, i-Glam, Sari Maya 2, Knight Rider, Galaksi dan Pondok-Pondok. Program berunsurkan keagamaan dan ilmiah pula dilancarkan pada majlis lain.

Program Ekspedisi Chef Wan akan menemui penonton pada 5 Januari adalah kesinambungan kepada rancangan Ole-Ole Chef Wan. Program i-Glam dihoskan oleh Nora Danish memberi fokus terhadap dunia kecantikan dan fesyen dalam dan luar negara. Program ini berbeza daripada Nona atau mana-mana program majalah wanita lain. i-Glam episod pertama menemui penonton pada 10 Januari, jam 7 malam.

Slot Ratu diserikan dengan drama bersiri Sari Maya 2 menemui penonton setiap Isnin, bermula pada 4 Januari, jam 9.30 malam. Program Galaksi, iaitu majalah hiburan TV9 disiarkan pada Sabtu, jam 9 malam dengan menampilkan Irma hasmie sebagai hos.

Rozaina berkata, kekuatan Galaksi tidak terletak kepada pengacara sebaliknya kepada pengisian kandungan yang dikupas dengan lebih mendalam setiap isu sensasi yang dipaparkan.

Diminta menjelaskan mengenai pengisian program di TV9 umpama ‘carbon copy’ kepada TV3, beliau berkata sebagai adik beradik, TV9 banyak mempelajari selok belok penerbitan TV3.

Sumber : BERITA HARIAN