Thursday 13 February 2014

Pensyarah, doktor gigi juara hafazan peringkat Kelantan

KOTA BHARU 12 Feb. - Pensyarah dan doktor gigi mewakili Kelantan ke Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung di Shah Alam, Selangor pada Mac ini.
Pemilihan Muhammad Syafee Salihin Hasan, 25, Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Nur Munirah Mohd. Nor, 25, bertugas di sebuah hospital di Tawau, Sabah setelah mereka muncul johan pertandingan peringkat negeri bagi tahap 1 hingga 30 juzuk al-Quran dengan membawa pulang wang tunai RM6,000 serta sijil dan hadiah iringan.
Muhammad Syafee Salihin dan Nur Munirah masing-masing mendapat markah sebanyak 99.42 peratus dan 90.73 peratus.
Naib johan kategori lelaki yang memenangi wang tunai RM4,000 pula disandang Mohamad Ihsan Mohd. Din, 24, (90.73 peratus) manakala tempat ketiga, Nu'man Zaki Mohd. Zaki, 20, (88.12 peratus), menerima RM2,000.
Bagaimanapun tiada pemenang yang layak untuk kedua-dua kedudukan itu bagi kategori wanita.
Muhammad Syafee yang berasal dari Kampung Kedai Pauh Lima di sini berkata, persiapan intensif selama sebulan sebelum menyertai majlis hafazan itu termasuk mengulang bacaan sehingga enam juzuk al-Quran setiap hari membuahkan hasil.
"Saya berharap dapat meneruskan kecemerlangan para hafiz negeri ini di majlis hafazan peringkat kebangsaan memandangkan Kelantan sudah tersohor melahirkan barisan hafiz dan hafizah muda yang baik.
"Sebelum ini saya pada 2011, saya pernah muncul naib johan tahap 1-20 juzuk di peringkat kebangsaan dan kali ini strategi saya adalah menumpukan perhatian kepada ayat-ayat kerap 'tersangkut' dengan menyediakan sebuah buku catatan khusus bagi mengatasinya,'' katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini semalam.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad.
Sementara itu, ibu kepada Nur Munirah iaitu Wan Khatijah Wan Adam, 60, yang mewakili anaknya disebabkan Nur Munirah perlu bergegas pulang ke Tawau, bersyukur kerana perjuangan anaknya memartabatkan al-Quran dipermudahkan biarpun sibuk dengan kerjaya yang memerlukan komitmen tinggi.
Selain Nur Munirah yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik, Wan Khatijah yang merupakan pesara guru dari Tumpat berkata, tiga lagi anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan turut menghafal 30 juzuk al-Quran.
"Saya mendidik anak-anak mencintai dan menghafaz al-Quran sejak mereka kecil dan memupuk minat dengan cara memasang kaset alunan bacaan qari-qari ternama," katanya.
Seramai 100 peserta lelaki dan wanita menyertai majlis hafazan bermula Selasa lalu yang dibahagikan kepada tiga tahap iaitu tahap 1-10 juzuk dan tarannum; tahap 1-20 juzuk dan tahap 1-30 juzuk dan tafsir.
Pemenang tahap 1-10 juzuk bagi kategori lelaki dimenangi oleh Muhammad Zulhilmi Ab. Rahman, 15, dengan markah 99.07 peratus, kedua Muhammad Dehya Emir Mohammad Arif Emir, 22 (98.83 peratus) dan ketiga Muhammad Amirul Wafiq Mazlan, 18 (98.41 peratus).
Johan kategori wanita pula, tempat pertama dimenangi Putri Aminah Mohd. Hanif, 12 (98.37 peratus); kedua, Wan Nurul Husna Wan Shukri, 15 (96.76 peratus) dan tempat ketiga, Sakinah Shahnom, 15 (83.51 peratus).
Dalam pada itu, bagi tahap 1-20 juzuk pula johan kategori lelaki disandang Abdullah Ulwan Ismail, 17, (99.16 peratus); kedua, Muhammad Waqiyuddin Azmi, 17, (95 peratus) dan ketiga, Muhammad Sobri Mohd. Shahidilfitar, 21, (94.38 peratus).
Sementara bagi kategori wanita, hanya johan dan pemenang tempat ketiga diumumkan iaitu Wardah Syamimah Silmi, 16, (93 peratus) dan Farhana Fauzi, 18, (70.78 peratus).
Setiap johan bagi tahap 1-10 juzuk memenangi wang tunai RM2,500, tempat kedua, RM2,000 dan ketiga RM1,000 manakala bagi tahap 1-20 juzuk pula, johan menerima wang tunai RM3,000; kedua, RM2,500 dan ketiga, RM1,500 selain hadiah iringan serta sijil penyertaan.


Artikel Penuh:

http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140213/wt_02/Pensyarah-doktor-gigi-juara-hafazan-peringkat-Kelantan


Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments