Wednesday 26 June 2013

Kisah di sebalik kejayaan Johan Qari Kebangsaan 2013


PARIT BUNTAR - Tatkala kanak-kanak lain lebih gemar bermain bersama rakan sebaya, seorang kanak-kanak mula menunjukkan minat luar biasa terhadap pengajian al-Quran sejak dari bangku sekolah lagi.

Bermula usia 9 tahun, Anuar Hasin yang merupakan murid darjah tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baru, di sini ketika itu sering menawarkan diri untuk menjadi tukang azan atau ‘muazzin’ di Masjid Sungai Baru setiap kali  mengikuti ayahnya menunaikan solat.

Kecenderungan Anuar untuk melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan di masjid bukan sahaja mendapat sokongan jawatankuasa kariah masjid, malah dilantik sebagai salah seorang bilal masjid untuk mengalunkan azan setiap kali masuk waktu solat.

Bapanya, Hasin Ahmad, 70, berkata, minat Anuar tidak terhenti setakat itu sahaja apabila beliau turut menyumbang suaranya yang lunak dan merdu bagi membacakan ayat-ayat al-Quran serta berzikir setiap kali hendak masuk waktu solat.

“Anuar mula menunjukkan minat mendalam terhadap agama Islam dan al-Quran sejak kecil lagi apabila  sering mengikut saya menunaikan solat di masjid serta menghadiri program ilmu di segenap ceruk kampung.

“Lebih mengagumkan, Anuar melakukan semua perkara atas dasar sukarela dan tanpa paksaan daripada sesiapa,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Sungai Baru, di sini semalam.

Hasin berkata, Anuar yang merupakan anak kelima daripada enam beradik juga menunjukkan keterujaan luar biasa untuk mendalami ilmu al-Quran dan Hadis apabila sentiasa memintanya mengesyorkan guru al-Quran untuk mengajarnya.

Jelasnya, setiap kali pulang dari sekolah, Anuar akan bergegas ke rumah guru agama untuk melanjutkan pengajian dan tabiat itu dibawanya hingga ke sekolah menengah.

“Sejurus meneruskan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Agama Slim River, Anuar meneruskan tabiat berkunjung ke rumah gurunya untuk mendalami pengajian al-Quran.

“Malah salah seorang gurunya terkejut melihat kesungguhan Anuar untuk mempelajari ilmu bacaan al-Quran apabila beliau sanggup mengetuk pintu rumahnya semata-mata untuk meningkatkan ilmu,” katanya.

Hasin berkata, ciri-ciri istimewa lain yang terdapat pada Anuar ialah beliau sanggup berkelana jauh hingga ke Kelantan semata-mata untuk menimba ilmu dari guru agama berpengaruh dan berpengalaman.

Tambahnya, Anuar sentiasa mahu memperbaiki diri dan meningkatkan ilmu pengetahuannya, malah sehingga kini beliau masih meneruskan pengajian agama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Seri Kembangan  selain menjadi pensyarah di situ.

“Malah, selepas beliau memenangi program realiti Akademi al-Quran pada  2007, Anuar tidak pernah mengabaikan pengajian bidang pembacaan al-Quran, malah semakin tekun berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

“Mungkin kesungguhan Anuar untuk mendalami ilmu al-Quran dibalas ALLAH SWT dengan dinobatkan johan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 yang berlangsung di Dewan Balai Islam Kompleks Islam Darul Naim, Lundang, Kelantan, baru-baru ini,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya setelah mendapat tahu kemenangan Anuar, Hasin berasa bersyukur dan bangga dengan kejayaan dikecapi Anuar, terutama melihat segenap pengorbanan yang terpaksa dilalui anaknya untuk mencapai kejayaan itu.

“Saya juga berharap Anuar menjadi ‘role model’ kepada golongan belia untuk kembali berpegang kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, sekalig us memartabatkan kembali masyarakat Islam pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Baru, Nordin Mat Disa menegaskan kejayaan Anuar merupakan satu kebanggaan terhadap penduduk kampung itu dan Parlimen Parit Buntar.

“Saya mewakili seluruh JKKK Kampung Sungai Baru mengucapkan tahniah kepada Anuar dan seluruh ahli keluarganya, dan berharap beliau akan mencapai kejayaan lebih bermakna dengan menjuarai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal bermula 29 Jun ini.
“Kami sudah lama menyedari bakat dan kemampuan dimiliki beliau sejak kecil lagi dan berharap Anuar akan dapat mengharumkan nama negara pada kejohanan itu,” katanya.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments