Friday 14 June 2013

Johan tilawah kebangsaan 2013







Qari Perak, Qariah Pahang Juarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56
KOTA BARU: Qari Perak, Anuar Hasin dan qariah Pahang, Hanimzah Jalaluddin dinobat sebagai johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 yang berlangsung di Dewan Balai Islam Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini.
Masing-masing membawa pulang sebuah kereta Proton Preve, yang merupakan hadiah tambahan tajaan Tabung Haji pada tahun ini, selain wang tunai RM15,000 beserta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Anuar memperoleh 92.33 peratus markah manakala Hanimzah mendapat 88.34 peratus.
Mereka akan mewakili negara pada Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 Jun hingga 6 Julai ini.
Sementara itu, qari Negeri Sembilan Amirahman Abas yang mengutip 89.67 peratus markah muncul naib johan manakala tempat ketiga milik qari Terengganu Mohamad Hafas Ali yang mendapat 86.67 peratus.
Naib johan qariah pula disandang peserta Johor Nor Azrah Ayub yang memperoleh 86.00 peratus markah manakala tempat ketiga milik qariah Kedah Marzian Mohd Deli (84.34 peratus).
Bagi naib johan qari dan qariah, masing-masing menerima wang tunai RM10,000 beserta cenderamata dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga membawa pulang RM7,000 selain cenderamata dan sijil penyertaan.
Hadiah saguhati berupa wang tunai RM3,000 beserta cenderamata dan sijil penyertaan diberi kepada semua peserta.
Hadiah disampaikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V. Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Seramai 14 qari dan 15 qariah memperdengar bacaan masing-masing pada tilawah yang berlangsung lima hari sejak Isnin lepas. - BERNAMA


DIBAWAH MAKLUMAT JOHAN KEBANGSAAN 2012


Johan Qari Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan ke 55, Muhamad Anuar Ghazali (kiri) dari Kelantan bergambar bersama johan Qariah Che Aminah Che Awang dari Wilayah Persekutuan bersama hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Baharu di Johor Bahru, malam Jumaat. Foto BERNAMA

 JOHOR BAHRU: Qari dari Kelantan, Muhamad Anuar Ghazali dan Qariah dari Wilayah Persekutuan, Che Minah Che Awang masing-masing diumumkan johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 di sini Jumaat.

 Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan ibadat haji beserta cenderamata dan sijil penyertaan.

 Muhammad Anuar, 36, seorang guru pendidikan Islam memperoleh markah 93.66 peratus manakala Che Minah, 57, guru al-Quran pula memperoleh 84.33 peratus.

 Negeri Pahang pula diumumkan sebagai johan keseluruhan majlis tilawah tersebut.

 Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

 Sementara itu, naib johan pula ialah qari dari Pahang, Zul-Hasyimi Mohamed Yunus (87.99 peratus) dan qariah dari Sabah, Nur Faten Izzati Rablin (79 peratus). Mereka masing-masing menerima wang tunai RM7,000, pakej menunaikan ibadat haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

 Tempat ketiga pula qari dari Sabah, Mohamad Raffe Ghalil Abbas (86.68 peratus) dan qariah dari Kedah, Marzian Mohd Deli (78.67 peratus). Mereka menerima wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

 Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim dan kerabat diraja lain turut berkenan berangkat ke majlis tilawah itu yang berlangsung di Persada Johor di sini.

 Selain itu majlis tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta isteri Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin.

 Seramai 27 qari dan qariah menyertai tilawah yang berlangsung selama limahari sejak Isnin lalu dan bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'. - BERNAMA 

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments