Auratkah Suara Perempuan untuk Bertarannum/melagukan bacaan al-quran?


Suara Wanita, Polemik Yang Tidak Berkesudahan


Oleh :  Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
            pustakahilmi@yahoo.com
            pustakahilmi.blogspot.com

            Pada 11 Jun 2012 yang lalu, YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Menteri Besar Kelantan mengumumkan bahawa kerajaan negeri Kelantan akan menghantar qariah dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun depan. Menurut beliau, sebelum ini, iaitu sewaktu awal pentadbiran beliau, kerajaan negeri mengadakan sekatan kepada muslimat untuk turut serta kerana ketika itu suasana agak bebas dan seolah-olah tiada batasan yang membezakan antara lelaki dan perempuan.

            Namun, setelah lebih 20 tahun memerintah, banyak usaha bagi memantapkan iman telah dibuat oleh kerajaan negeri sejajar dengan prinsip Membangun Bersama Islam. Kini, kerajaan negeri yakin muslimat sudah  memahami batasan antara lelaki dan perempuan dan bersedia mengambil langkah baru. Beliau berkata demikian sewaktu  Majlis Makan Tengahari bagi meraikan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-55 tahun 1433H, Ustaz Mohamad Anuar Ghazali.

            Menurut YAB Dato’ Nik Abdul Aziz lagi, keputusan ini dibuat setelah mengambilkira peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pada permulaannya, Nabi s.a.w. melarang menziarahi kubur kerana berlaku pelbagai perbuatan syirik seperti meratap, atau menjilat kubur. Tetapi setelah iman para sahabat semakin kukuh, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, sekarang bolehlah kamu menziarahinya” (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Nasa’i).

            Melihat kepada kenyataan Menteri Besar Kelantan di atas, sekali imbas tidak ada apa yang perlu dipertikaikan. Tambahan pula, desakan supaya kerajaan Kelantan membenarkan qariah menyertai tilawah al-Quran sememanganya sudah lama diperjuang-kan oleh beberapa pihak di Kelantan yang melihat tindakan melarang wanita menyertai tilawah al-Quran lebih banyak mendatangkan fitnah dan persepsi negatif terhadap kerajaan Kelantan, Parti Islam Semalaysia (Pas), dan ajaran Islam itu sendiri, termasuk dari sudut pendekatan dakwah yang dinamik.

            Namun, bagi mereka yang sentiasa mengikuti ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh Dato’ Nik Aziz, sama ada sebelum mahupun selepas beliau menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan, kenyataan MB Kelantan tersebut lebih banyak mengundang kejutan dan kehairanan. Hal ini kerana melalui ceramah-ceramah agama tersebut, beliau berulang kali menekankan pendapatnya yang lebih cenderung dengan pandangan ulama yang mengatakan bahawa suara wanita yang sengaja dilunak-lunakkan adalah aurat dan haram didengari oleh lelaki ajnabi.

            Pandangan peribadi Dato’ Nik Aziz ini kemudiannya disahkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob semasa beliau ditemuramah oleh Harakahdaily, akhbar rasmi online Pas. Dalam temuramah tersebut, beliau menjelaskan bahawa larangan terhadap qariah Kelantan menyertai tilawah al-Quran adalah kerana kerajaan Kelantan berpegang kepada pendapat yang mengatakan bahawa suara wanita yang dilunakkan dan dimerdukan adalah aurat.

            Antara hujah yang digunapakai oleh ulama-ulama yang berpegang kepada pendapat ini ialah firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat yang ke-32 yang bermaksud : “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”.

            Berpegang kepada pendapat inilah, maka pada tahun 1998 kerajaan Pas Kelantan telah menggubal Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 yang antara lainnya melarang artis wanita daripada menyanyi dan mengadakan persembahan terbuka di khalayak ramai yang pastinya akan dihadiri oleh kaum lelaki. Selain itu, larangan ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya fitnah di sebalik suara artis wanita yang mungkin boleh membangkitkan syahwat para lelaki melalui kemerduan suara dan liuk-lentok gerakan tubuh badan.

            Rentetan daripada semua senario di atas, kenyataan terbaru daripada Tuan Guru MB Kelantan ini pastinya mengundang kekeliruan dan seribu satu persoalan. Mengeliru-kan kerana di saat kerajaan Kelantan membenarkan wanita menyertai tilawah al-Quran, pada masa yang sama, golongan hawa tersebut dilarang daripada mempersembahkan bakat nyanyian mereka di hadapan khalayak ramai, walaupun dalam konteks menyanyi-kan lagu-lagu nasyid, dakwah, nasihat, dan sebagainya.

            Persoalan yang timbul di benak fikiran ramai dalam hal ini ialah apakah bezanya antara suara wanita yang dilunakkan bagi tujuan menyertai tilawah al-Quran dengan suara artis wanita semasa menyanyi? Kalaulah fitnah yang dijadikan alasan, bagi saya wajah cantik dan suara lunak Abby Abadi semasa berceramah di atas pentas Pas juga boleh menimbulkan fitnah dan ghairah para hadirin.

            Lebih malang lagi jika kerajaan Kelantan menggunakan isu-isu teknikal bagi mewajarkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 diteruskan di sebalik pewajaran qariah menyertai tilawah al-Quran. Hal ini kerana peraturan dan garis panduan kepada artis wanita boleh dikeluarkan jika Pas dan kerajaan Kelantan betul-betul bersungguh-sungguh mahu berdakwah dalam bidang seni dan hiburan.

            Inilah sebenarnya intipati di sebalik fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawiy yang mengharuskan wanita menyanyi di hadapan lelaki ajnabi dengan syarat-syarat tertentu. Fatwa ulama kontemporari tersohor itu boleh dilihat dalam laman web rasmi beliau di alamat http://www.qaradawi.net/component/content/article/30/5415.html. Pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawiy ini turut disokong oleh Dr. Hamzah Jaafar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga bekas Pensyarah di Jabatan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

            Bagi mereka yang masih sangsi, renung-renungkanlah pendapat beliau sebagai-mana yang dipetik dari blog http://dupahang.wordpress.com. Menurut Dr. Hamzah : “Pertimbangan dalam berdakwah ialah kita hendaklah meminimumkan kejahatan dan kemungkaran di peringkat awal, untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum di peringkat akhirnya. Banyak dalam kalangan kita begitu ghairah untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum seawal dan secepat mungkin, yang akhirnya langsung tak dapat apa-apa. Maknanya kita kena bijak mencongak sifir ...

            Dalam konteks konsert seperti yang saya cadangkan, kita cuba meminimumkan kemungkaran dalam konsert. Caranya ialah kita bagi syarat kena tutup aurat dan jangan menari-nari dengan tarian yang melampau, percampuran lelaki harus dibataskan, waktu persembahan juga harus diambil kira, dan slot untuk tazkirah perlu diadakan.
Saya yakin, akhirnya kita akan dapat melihat ‘kebaikan maksimum’ akan berlaku pada anak muda dan artis kita ...”.


*          Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tg. Malim, Perak.

sumber daripada blog