Saturday 3 July 2010

Ainuddin, Norazrah johan tilawah al-Quran kebangsaan 2010


Ainuddin, Norazrah johan tilawah al-Quran


KOTA KINABALU 3 Julai – Qari Wilayah Persekutuan, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan qariah Johor, Norazrah Ayub masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-53 di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini malam ini.

Seramai 29 peserta mengambil bahagian dalam tilawah tersebut yang bermula Selasa lalu.

Wan Ainuddin yang memperoleh markah 82.01 peratus menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, cenderamata, pakej haji dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah.

Norazrah yang menerima 79.34 markah turut menerima hadiah sama yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar.

Sementara itu, peserta Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali muncul naib johan qari selepas memperoleh 79.66 markah, diikuti Othman Azumi Ahmad dari Kedah di tempat ketiga dengan 79.33 markah.

Bagi kategori qariah pula, Nor Ruzana Natiah Jaafar dari Selangor mendapat tempat kedua dengan 79.33 markah sementara Normalina Alias dari Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan 77.66 peratus markah.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 dan RM5,000, cenderamata dan sijil penyertaan.

Keputusan tilawah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments