Sabah tuan rumah Tilawah al-Quran Kebangsaan ke-53


Sabah dipilih menjadi tuan rumah Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-53 yang akan diadakan di Dewan Perdana Wisma Muis di sini, bermula 29 Jun hingga 3 Julai ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, ini adalah kali ketiga Sabah dipilih sebagai tuan rumah tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, selepas menganjurkan majlis itu pada 1989 dan 2000.

Katanya, tema majlis tilawah al- Quran tahun ini adalah Memantapkan Ukhuwah, Memperkasa Ummah dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 Jun ini.

"Seramai 27 qari dan qariah dari seluruh negara akan memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing bermula 29 Jun hingga 3 Julai.

"Johan qari dan qariah akan mewakili Malaysia ke Majlis Tilawah Al- Quran peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 27 Julai hingga 3 Ogos tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-53 di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman.

Musa berkata, majlis penutupan dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Haji Ahmadshah Abdullah pada 3 Julai.

Katanya, majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan diadakan setiap tahun sebagai usaha berterusan kerajaan menggalakkan serta membudayakan minat membaca al-Quran di kalangan umat Islam.

Beliau menambah, bagi menyemarakkan lagi majlis tilawah tahun ini beberapa program sampingan seperti konvensyen Al-Quran peringkat kebangsaan dan persidangan pegawai- pegawai syariah peringkat kebangsaan akan diadakan.

"Bagi menarik kunjungan dan kehadiran orang ramai pameran berkaitan perkembangan Islam di negeri ini, Kaligrafi Islam, penulisan Al-Quran dan artifak arkeologi sejarah Islam juga akan diadakan.

"Selain itu, beberapa persembahan berbentuk nasyid, qasidah, kompang dan persembahan muzik tradisional tempatan akan diadakan sepanjang tempoh penganjuran tilawah peringkat kebangsaan itu," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia Online