Thursday 5 September 2013

PENGAJIAN AL-QUR’AN DI ERA GLOBALISASI : Pengalaman Di Malaysia

(Prof Madya Mustaffa Abdullah)

Mustaffa Abdullah



Globalisasi adalah sebuah istilah yang memiliki hubungan dengan peningkatan keterkaitan dan ketergantungan antarabangsa dan antara manusia di seluruh dunia melalui perdagangan, investasi, perjalanan, budaya popular dan bentuk-bentuk interaksi yang lain sehingga batas-batas sesuatu negara menjadi bias.
Kata globalisasi diambil dari kata global yang maknanya universal. Globalisasi belum memiliki definisi yang mapan kecuali sekadar definisi kerja sehingga tergantung dari sisi mana orang melihatnya. Ada yang memandangnya sebagai suatu proses sosial atau proses sejarah atau proses ’alamiyah yang akan membawa seluruh bangsa dan negara di dunia makin terikat satu sama lain, mewujudkan satu pengurusan kehidupan baru atau kesatuan ko eksistensi dengan menyingkirkan batas-batas geografi, ekonomi dan budaya masyarakat. Namun secara yang lebih ilmiah, istilah globalisasi boleh dirujuk kepada satu proses dan fenomena yang multi dimensi sifatnya, meliputi aspek-aspek ekonomi, politik, masyarakat, budaya dan ideologi. Tanggapan yang hidup selama ini tentang globalisasi adalah bahawa proses globalisasi akan membuat dunia seragam. Proses globalisasi akan menghapus identiti dan jati diri.[2] Kebudayaan lokal atau etnis akan ditelan oleh kekuatan budaya besar atau kekuatan budaya global.
Kekhuatiran seperti ini pernah diluahkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Muhamad dalam seminar antarabangsa mengenai Kesan Globalisasi Terhadap Dunia Islam: Isu dan cabaran pada Abad ke 21, Anjuran Kementerian Luar serta Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 Jun 2001, beliau mengungkapkan bahawa kuasa besar Barat cuba memaksa menggunapakai satu set budaya yang mereka inginkan dan dibawa secara halus melalui proses globalisasi.[3]
Kandungan globalisasi dengan maksud itu ternyata amat bahaya kepada dunia Islam, kerana dunia Barat cuba memaksakan nilai mereka yang tentunya belum tentu sesuai untuk digunapakai oleh orang lain. Jika sekiranya orang lain tidak mahu menerima pakai, kuasa Barat berkenaan boleh mengenakan pelbagai tekanan atau sekatan ekonomi yang boleh menyeksakan Negara atau pihak yang tidak mahu menerima nilai tersebut.[4]
Apakah akan terjadi sekiranya pengajian al-Qur’an termasuk sebahagian daripada komoditi dan komersial sistem ekonomi global? Bagaimanakah keadaan umat Islam apabila menghadapi perkara tersebut? Kertas kerja ini akan menjawab persoalan tersebut dengan memaparkan pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menangani isu yang berlaku dalam pengajian al-Qur’an akibat ledakan globalisasi di era ini.

Pengajian al-Quran Dalam Era Globalisasi
Kepesatan teknologi maklumat dalam fasa perkembangannya telah membolehkan manusia  mengakses maklumat serta menikmati segala kemudahan tersebut semudah di hujung jari. Malah, ia telah membuka dimensi dan peluang baru dalam perkembangan pengajian al-Qur’an di seluruh dunia sehingga Negara dan masyarakat dunia semakin bergantung kepada kemudahan teknologi maklumat dan infrastruktur berkenaan, khasnya bertindak selaku agen pemudah cara dalam pencarian sumber termasuk dalam pengajian al-Qur’an.
Terdapat pelbagai laman web yang menawarkan pelbagai kemudahan dalam pengajian al-Qur’an, berupa bahan dalam bentuk Pdf, audio visual, interaktif langsung dan lain-lain. Laman web http://www.alwaraq.com/ misalnya merupakan antara laman web yang sering menjadi pilihan utama para pengguna di seluruh dunia yang ingin merujuk kepada buku-buku di bidang pengajian al-Qur’an.[5] Selain menawarkan khidmat percuma, ia turut memudahkan pengguna dengan memberikan tiga pilihan utama kepada pengguna iaitu kitab-kitab turath atau karya klasik, buku-buku yang telah ditahqiq, dan pencarian mengikut indeks.[6]
Keistimewaan lain yang turut ditawarkan oleh teknologi internet ini ialah kemudahan terjemahan al-Qur’an yang boleh diakses di laman web http://www.theholyquran.org/.[8] Menariknya, laman web yang menawarkan lebih daripada 20 pilihan bahasa ini telah dibangunkan oleh Internet Holding yang berpusat di Amerika Syarikat bagi tujuan amal.[9] Bahkan, pengguna juga dapat menikmati alunan bacaan al-Qur’an 30 juzuk secara percuma.[10] Bukan sekadar itu sahaja, malah kemudahan pengajian al-Quran di internet merangkumi variasi subjek di dalam disiplin ilmu tersebut seperti Ilmu Qiraat[11], I‘jaz al-Qur’an[12] dan sebagainya.
Bagi peminat seni qira’at, mereka sudah pasti amat mesra dengan laman web http://www.quraat.com/, yang diselenggarakan oleh al-Shaykh Muhammad Nubhan bin Husayn bin Muhammad bin Ahmad al-Masri. Melalui laman web http://www.quraat.com/ ini, pengguna boleh memilih beberapa buah buku qiraat yang boleh dibaca secara percuma. Terdapat sebanyak 37 buah buku dimuatkan secara percuma termasuk sepuluh daripadanya adalah hasil karangan al-Sheikh Muhammad Nubhan bin Husayn bin Muhammad bin Ahmad al-Masri sendiri.
Selain itu, sebuah lagi laman web berkaitan I’jaz al-Qur’an boleh dilawati di alamat  http://www.55a.net/firas/arabic/, yang diselenggarakan oleh Prof. Firas Nurul Haq dan beberapa jawatankuasa lain. Laman web ini merupakan di antara laman web terbaik yang membahaskan mengenai I‘jaz kejadian makhluk dari kejadian manusia, alam, bumi, bintang, haiwan, serangga dan sebagainya. Malah, laman web ini juga menyediakan lebih daripada 10 bab utama yang kemudiannya dipecahkan kepada beberapa tajuk kecil. Apa yang menariknya, pengguna dapat menyaksikan rakaman I’jaz yang disediakan secara percuma dengan menggunakan fail real audio atau window media.
Web http://www.quransite.com/tajweed/tajweed.htm, menawarkan pengajian ilmu tajwid secara online. Maklumat berkaitan hukum-hukum tajwid boleh didapati di web ini dengan mudah secara percuma iaitu dengan hanya mengklik kepada salah satu tajuk kecil perbincangan ilmu tajwid samada tentang hukum umum, hukum bacaan isti‘azah dan basmalah, hukum kesalahan-kesalahan pada huruf dan lafaz, hukum nun sakinah, hukum mim sakinah dan sebagainya.
Web http:/tafsir.org/books/ merupakan sebuah web yang menyajikan pelbagai kitab di dalam disiplin ilmu al-Qur’an. Di antaranya ialah kitab Al-Qur’an al-Karim (2 buah), tajwid (15 buah), qiraat (28 buah), tafsir (37 buah), Usul al-Tafsir (13 buah), ‘Ulum al-Qur’an (35 buah), Ahkam al-Qur’an (2 buah), Lughah al-Qur’an (18 buah), Manahij al-Mufassirin (2 buah), I‘jaz al-Qur’an (10 buah), Tarajim al-Qurra’ wa al-Mufassirin (8 buah), Mutafarriqat (38 buah), dan Makhtutat (sebuah). Kaedah untuk mengakses maklumat dari khazanah kitab-kitab secara online di web ini adalah amat mudah. Untuk merujuk sesebuah kitab di web ini, caranya ialah dengan klik kepada bidang yang ingin dicari dan seterusnya akan muncul ruangan atau kotak untuk memasukkan nama pengarang atau judul kitab yang berkaitan.
Sebahagian laman web yang dikemukakan di atas, pengendalinya adalah dari kalangan umat  Islam yang menyediakan khidmat tersebut untuk kemudahan umat Islam, tetapi sekiranya diselidiki laman web yang disediakan oleh pihak lain, contohnya orientalis maka sudah tentu maklumat dan fakta yang dikemukakan berkaitan al-Qur’an dan agama Islam perlu diselidiki dengan teliti. Contohnya artikel-artikel yang dimuatkan dalam laman berikut:
  1. http://www.islamicreform.org/
  2. http://www.studyquran.co.uk/
  3. http://www.quran.org/
  4. http://www.free-minds.org/
  5. http://www.universalunity.net/
  6. http://www.noor.org/
  7. http://www.yuksel.org/
  8. http://www.toluislam.com/
  9. http://www.quran-islam.org/
  10. http://www.submission.org/
Walau apapun, penelitian penulis ke atas sejumlah laman web berkaitan pengajian al-Qur’an menunjukkan bahawa penggunaan internet amat penting kepada para pelajar, pengkaji, dan penyelidik al-Qur’an masa kini dalam menambahkan maklumat dan informasi terkini mengenai pengajian al-Qur’an sekaligus melengkapi diri dengan persiapan yang mapan dalam mendepani cabaran arus globalisasi. Namun kemudahan yang disediakan dalam internet berkenaan pengajian al-Qur’an adalah dalam bentuk  fakta dan teori yang memerlukan kepada pengesahan golongan pakar bagi menentukan kesahihannya. Justeru secara praktikalnya bimbingan guru masih amat diperlukan dalam usaha memperincikan fakta dan teori yang kurang jelas atau memandu arah dalam mempraktikkan sesuatu teori dan kefahaman dengan berkesan dan tidak menimbulkan apa-apa keraguan.

Cabaran Era Globalisasi Terhadap Pengajian al-Qur’an
Negara-negara Muslim di seluruh dunia yang penduduknya sekitar 1.3 million orang, merupakan sasaran utama negara-negara maju dalam proses mengeksport perkhidmatan pendidikan dan latihan daripada Negara mereka ke Negara luar yang baru membangun. Keadaan ini berlaku kerana kesedaran umat Islam dan pemerintah negara-negara di dunia muslim terhadap bidang pendidikan masih rendah.
Ekoran itu, tempias globalisasi turut memberi kesan kepada pengajian al-Qur’an dan semacam tidak ada kuasa yang mampu menghalangnya. Kepelbagaian medium penyebaran serta kesukaran mengawal aliran maklumat ini juga telah menggalakkan lagi perkembangan pemikiran-pemikiran yang menyeleweng daripada ajaran Islam di mana ia telah menjadi cabaran kepada umat Islam untuk mempertahankan kesucian agama Islam.[13] Ini kerana, al-Qur’an yang merupakan sumber utama agama telah menjadi antara fokus utama penyelewengan dan propaganda pihak-pihak tertentu menyebarkan fahaman dan pemikiran mereka secara berleluasa dalam pelbagai bentuk dan cara.
Penyelewengan secara berleluasa terhadap al-Qur’an terbahagi kepada dua, iaitu penyelewengan terhadap kesucian teks al-Qur’an dan penyelewengan terhadap metodologi dan pentafsiran al-Qur’an semasa.[14] Namun begitu, usaha musuh-musuh Islam dari kalangan ahli kitab tidak terhenti setakat penyelewengan terhadap kedua-dua buah kitab suci tersebut sahaja, bahkan muncul pula “ahli kitab moden” yang bekerja keras melalui perantaraan teknologi canggih di alam maya, telah bertindak menyembunyikan fakta serta memutar belitkan kenyataan al-Qur’an al-Karim yang diturunkan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam bahasa Arab, dengan mereka-reka kitab al-Qur’an dengan nama-nama dan kandungan yang “baru”. Penyelewengan yang tidak bertanggungjawab ini terjadi dalam dua keadaan iaitu, pemalsuan al-Qur’an secara keseluruhannya dan yang kedua ialah pemalsuan terhadap surah-surah tertentu.
Pemalsuan sepenuhnya terhadap teks al-Qur’an yang diberi nama “True Furqan[15]” hakikatnya mengandungi dakyah-dakyah sesat dan dakwaan-dakwaan palsu yang sangat menyeleweng dari paksi kebenaran, bahkan  ia turut memuatkan kepercayaan atau doktrin yang kufur dan syirik yang amat ketara. True Furqan atau الفرقان الحق ini mengandungi sebanyak 77 surah dan 366 halaman, dimulakan dengan surah al-Fatihah, sama seperti surah pertama di dalam al-Qur’an bagi mengaburi mata para pembaca atas persamaan pada namanya. Hakikatnya, wujud perbezaan yang amat ketara kerana ia mempunyai the blessing atau basmalah selaku mukadimah pengenalan dan diakhiri dengan penutup yang dinyatakan sebagai epilogue atau al-khatimah.[16]
Beberapa bentuk penyelewengan lain yang ketara bagi True Furqan ini ialah kenyataannya bahawa ia ditujukan buat bangsa Arab khasnya dan dunia Islam  umumnya. Malah, kononnya ia merupakan kitab suci yang bersifat universal yang bebas tanpa diskriminasi bangsa, kaum, warna kulit atau budaya umat manusia. Selain itu, ia turut memuatkan dakyah agama Kristian.[17] Lebih menyesatkan lagi, ialah kenyataan tentang pelaku zina boleh dihapuskan dosanya dengan The Water Of Purity atau ماء العفة dengan pengampunan sepenuhnya seperti yang disebutkan dalam kitab True Furqan sebagai berikut:
ويطهر نجس الزنى بماء العفة ويبرئ المسافحين[18]
“Dan kitab Furqan yang benar ini akan membasuh segala kekotoran zina melalui air keampunan dan menyembuhkan kedua-dua penzina”
Antara website yang giat mempromosikan buku ini adalah http://www.islam-exposed.org/, http://www.truth-in-crisis.com/TheTrueFurqan.htm dan didalangi oleh sekumpulan manusia yang menggelarkan diri mereka sebagai Al-Saffee dan Al-Mahdy.[19] Sebuah laman web lain iaitu http://www.suralikeit.com/ pula telah cuba merekacipta beberapa surah baru sebagai tambahan kepada 114 surah yang ada dalam Al-Qur’an sebenar. Antara surah yang ditambah adalah Surah Al-Du'a, Surah Al-Iman, Surah Al-Tajassud, Surah Al-Muslimun, dan Surah Al-Wasaya. Dan yang terkini mereka telah menambah Surah Araja, Surah Al-Mukata, Surah Al-Kitab, Surah Al-Usfur, dan Surah Al-Nabi.[20]
Bentuk penyelewengan kedua terhadap al-Qur’an adalah dari segi metodologi dan pentafsiran al-Qur’an semasa. Al-Qur’an dengan kedudukannya sebagai wahyu Allah s.w.t telah diturunkan menggunakan bahasa Arab yang tinggi nilai kesusasteraannya dan memerlukan metodologi khusus untuk memahami isi kandungannya. Justeru, Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menjelaskan kepada manusia tentang makna dan konsep al-Qur’an, terutamanya yang melibatkan ayat-ayat mutashabihat. Metodologi khusus yang dimaksudkan ialah seperti mengetahui konteks penurunan ayat asbab al-Nuzul, al-Nasikh wa al-Mansukh dan sebagainya menjadi antara unsur utama yang membentuk satu disiplin ilmu khusus yang dikenali sebagai “’Ulum al-Qur’an”. Justeru para ilmuan dan pentafsir sejak zaman berzaman telah menjadikan penguasaan ilmu ini sebagai pra-syarat untuk mentafsirkan al-Qur’an.
Walau bagaimanapun, mutakhir ini muncul beberapa pihak yang mendakwa memperjuangkan agama dan hak-hak golongan tertentu berdasarkan pemikiran dan metodologi yang tersendiri. Golongan ini mengkritik metodologi ilmuan Islam silam sebagai ketinggalan zaman dan dibayangi oleh unsur-unsur masyarakat dan budaya setempat yang tidak lagi relevan dengan bentuk kehidupan semasa yang bersifat global dan terbuka. Malah, mereka mencadangkan beberapa alternatif yang dirasakan sesuai serta bertepatan dengan selera pemikiran tanpa mengambil kira implikasi dan kesan yang negatif kepada al-Qur’an serta pengamalan ajaran Islam secara umum.
Sebagai contoh, metodologi “hermeneutics of tawhid[21] yang diperkenalkan oleh Prof. Dr Amina Wadud sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia merupakan adaptasi dari konsep hermeneutik yang telah digunapakai ke atas kitab Injil dan Bible. Metode ini memberi penekanan kepada penyatuan teks keseluruhan al-Qur’an yang merangkumi kedua-dua aspek khusus dan universal dalam ayat-ayat al-Qur’an dan membina daripadanya satu sistem umum yang boleh diguna pakai selaku pembimbing moral.[22] Menurutnya, teks al-Qur’an yang berada di tangan umat Islam sekarang adalah berlatarbelakangkan kurun ke-tujuh Masihi serta dibatasi oleh unsur-unsur masa dan budaya ketika itu seperti bahasa dan sebagainya. Oleh itu, sebarang bentuk teks dan konsep yang menjurus kepada situasi tertentu perlulah dihadkan kepada situasi itu sahaja dan tidak boleh dijadikan sebagai satu sistem yang universal kepada semua.[23] Contohnya, ketika mentafsirkan ayat 282 daripada surah al-Baqarah, Dr. Amina menyatakan bahawa status wanita sebagai saksi hanya merujuk kepada situasi tertentu dan sudah tidak relevan untuk diaplikasikan pada masa sekarang. Bahkan, beliau turut mempertikaikan konsep di mana seorang saksi lelaki bersamaan dengan dua orang saksi wanita hanyalah relevan dalam situasi di zaman penurunan wahyu yang menyaksikan dominasi lelaki terhadap wanita secara berleluasa.[24]
Metodologi yang digunapakai oleh golongan ini sebenarnya mirip dasar pemikiran Islam Liberal yang muncul sekitar tahun 1980-an Leonard Binder[25] dan Charles Kurzman.[26] Fahaman ini akhirnya cepat tersebar sehingga menjadi satu gerakan mentafsirkan semula asas-asas agama Islam berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
  1. Membuka ruang ijtihad seluas-luasnya.
  2. Mempercayai kebenaran keagamaan secara relatif, terbuka dan plural.
  3. Memihak kepada pihak yang tertindas dan golongan minoriti tanpa batasan agama, etnik, budaya, jantina dan sebagainya.
  4. Meyakini kebebasan beragama sebagai hak perseorangan yang harus dilindungi.
  5. Memisahkan antara duniawi dan ukhrawi, di mana perkataan agama bersifat eksklusif dan peribadi serta tidak mempunyai hak suci dalam menentukan segala kebaikan masyarakat.
Dewasa kini, terdapat banyak aliran pemikiran yang berkembang di alam Nusantara yang berindukkan gagasan Islam Liberal. Ia dianggotai oleh beberapa ilmuan dan sarjana Muslim yang sering mengutarakan pelbagai isu dan cadangan yang menimbulkan kontroversi sehingga menggugat fahaman sedia ada yang dianuti oleh majoriti umat Islam yang bermazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.[27]

Pendekatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Menghadapi Gejala Globalisasi
Memandangkan umat Islam kini berhadapan dengan segala macam cabaran di peringkat dalaman dan luaran. Cabaran peringkat dalaman adalah seperti yang diperkatakan oleh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi berbentuk salah faham umat Islam terhadap ajaran Islam menerusi tafsiran yang menyeleweng terhadap ayat-ayat al-Qur’an hasil dari perencanaan barat.[28] Cabaran luaran berupa propaganda dan prasangka jahat musuh-musuh Islam yang secara sengaja menyelewengkan fakta-fakta al-Qur’an.[29] Keadaan ini memerlukan usaha gigih dari pelbagai pihak supaya gejala negatif yang muncul daripada globalisasi tidak merosakkan kehidupan beragama umat Islam.
Kerajaan Malaysia mengambil sikap yang tegas terhadap golongan yang cuba menyebarkan kefahaman yang tidak benar tentang ajaran Islam. Pelbagai saluran secara bersepadu dan terancang digunakan bermula dari pendidikan hinggalah ke penguatkuasaan undang-undang bagi memelihara akidah umat Islam. Dalam bidang pendidikan pelbagai program dilaksanakan samada diperingkat sekolah dan pengajian tinggi dengan peruntukan kewangan yang besar, contohnya pihak kerajaan dalam masa terdekat telah memperkenalkan J-Qaf yang merupakan pendekatan baru dalam menerapkan pengetahuan Islam melalui jawi, al-Qur’an, bahasa Arab dan fardu ain bertujuan untuk memperkasakan pengajian Islam[30] dengan peruntukan sebanyak RM300 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-9.[31] Program ini dilakukan bertujuan menangani gejala buta al-Qur’an dikalangan masyarakat Islam.
Selain itu juga, penguatkuasaan undang-undang bagi memelihara akidah umat Islam juga dilakukan. Hasil daripada pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ini menyebabkan beberapa persatuan dan pertubuhan agama diharamkan seperti Tarikat Naqsabandiah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Putih, Tarekat Mufarridah (Syeikh Makmum), Ajaran Khatijah Mat Ali, Golongan Anti Hadith, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohd al-Mashor, Ajaran Azhar bin Wahab, Ajaran Abdul Rahim Abdul Razak dan lain-lain.[32]
Terkini, tindakan tegas telah diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan mewartakan gerakan Islam Liberal sebagai menyeleweng dan memantau sebarang perkembangan dan penyebaran gerakan ini daripada menular ke dalam masyarakat setempat.[33] Kerja pemantauan juga dilakukan oleh Majlis agama Islam Negeri dan Badan-badan NGO khususnya Persatuan Ulama Malaysia.
Selain itu, bahan-bahan bacaan yang diterbit atau yang dipasarkan di Malaysia juga dipantau dengan rapi oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sehingga kini KDN telah mengharamkan 323 buku dalam Bahasa Melayu dan 280 karya berbahasa Inggeris, empat karya dalam lain-lain bahasa dan 17 kaset dan video.[34] Terkini dua buah buku diharamkan oleh pihak KDN kerana mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya iaitu Pelik Tapi Benar Dalam Solat karya Ustaz Abdul Rahman Mohamed terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur dan Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism  oleh Norani Othman, terbitan Sisters in Islam, Petaling Jaya.[35]
Karya yang diharamkan dan menimbulkan banyak keriuhan dikalangan masyarakat Islam ialah Hadith: Satu Penilaian Semula karya Dr. Kassim Ahmad. Karya ini dikecam hebat oleh sarjana Islam tempatan lantaran sikap penulisnya yang menuduh hadith sebagai himpunan yang merupakan hasil tekaan atau anggapan para pengumpulnya, malah golongan ini turut mempertikaikan penulisan hadith.[36]
Teori beliau mengenai hadith bahawa hadith-hadith yang menjadi pegangan umat Islam hari ini lahir hanya 250 hingga 300 tahun selepas kewafatan Nabi s.a.w menerusi pendapat manusia pada zaman tersebut. Beliau bahkan menuduh masyarakat pada zaman tersebut mereka cipta hadith-hadith untuk menegakkan pendirian mereka dalam sesuatu hal dan perpecahan timbul di kalangan masyarakat ekoran daripada perbuatan tersebut. Sedangkan menurut Kassim lagi, pendapat manusia sentiasa bercanggah dan ada perbezaannya.
Menurutnya lagi, Nabi meninggalkan al-Qur’an sebagai petunjuk umat yang kemudiannya dibukukan oleh sahabatnya, Khalifah Abu Bakar mengikut susunan Nabi sendiri sedangkan usaha pengumpulan hadith merujuk kepada kitab sunan al-Sittah[37] adalah dibuat berlawanan dengan perintah Baginda yang melarang para sahabat membuat catatan hadith kerana Baginda hanya mahukan al-Qur’an sahaja yang dituruti umat Islam.[38]
Kenyataan beliau mendapat kritikan hebat daripada masyarakat Islam terutamanya pertubuhan sosial dan parti politik. Pelbagai pihak menuntut Dr. Kassim menarik balik kenyataan tersebut kerana dianggap bertentangan dengan prinsip Islam. Gesaan tersebut datangnya dari Persatuan Ulama Malaysia,[39] Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),[40] Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),[41] Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHIES), Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain.
Pihak kerajaan menyedari kewujudan dakyah-dakyah ini yang tersebar luas dikalangan masyarakat Melayu. Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan ialah sesi penerangan mengenai kesesatan golongan tersebut di masjid-masjid di setiap daerah dalam Negara ini. Bahkan, sebuah pusat pemulihan akidah telah dibina di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dalam usaha untuk memulihkan golongan yang terpisah dari ajaran agama ini.
Selanjutnya, Othman bin Ali telah memperkenalkan sebuah terjemahan al-Qur’an yang berjudul “Bacaan” pada dekad 90. Kehadiran buku baru ini merupakan manifestasi kelangsungan fahaman anti hadith. Beliau dikecam hebat dan dianggap tidak layak mentafsirkan al-Qur’an kerana tidak menguasai disiplin ilmu tafsir. [42]  Buku ini akhirnya menerima nasib yang sama dengan buku Kassim Ahmad iaitu diharamkan daripada dijual dan diedarkan kepada orang ramai.[43]
Usaha golongan tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja. Hasrat untuk menubuhkan sebuah organisasi dikalangan mereka yang sealiran sejak pengharaman tulisan Kassim Ahmad direalisasikan dengan penubuhan secara rahsia Jemaah al-Qur’an Malaysia pada 11 Jun 1995. Objektif  utama pertubuhan ini adalah untuk mengajak masyarakat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dalam al-Qur’an.[44] Mengajak rakyat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, seperti yang terdapat dalam kitab Tuhan yang terakhir iaitu al-Qur’an dan menolak hadith. Pertubuhan ini tidak dapat didaftarkan dan bergerak seperti pertubuhan-pertubuhan lain kerana bangkangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia.
Percubaan menubuhkan Interfaith Commission (IFC). Berdasarkan draf undang-undang penubuhan IFC,[45] suruhanjaya ini jika ditubuhkan ianya amat berbahaya kepada Islam kerana membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam, orang Islam bebas melakukan apa sahaja, orang Islam bebas untuk murtad, IFC berhak dan diberi kuasa menentukan status agama seseorang.[46]
Cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pengajian al-Qur’an era globalisasi tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan terdapat beberapa lagi fahaman lain seperti sekularisme, pluralisme, hermeneutik, feminisme, Al-Qur’an Edisi Kritis (QEK) dan penulis kuat mengatakan bahawa akan muncul lagi beberapa fahaman baru seumpama itu meskipun kedatangannya dalam variasi nama, namun secara umumnya isinya tidak jauh berbeza iaitu menimbulkan keraguan di hati dan fikiran manusia tentang ajaran isi al-Qur’an dengan menyajikan sebuah metodologi yang sangat jelas jauh menyimpang daripada kebenaran.
Dalam era kini, mempersiapkan diri berhadapan musuh termasuk melengkapkan diri dengan keupayaan menggunakan ICT. Ini termasuklah kepada golongan pendakwah. Melalui ICT, liputannya lebih meluas. Islam pun tidak pernah memusuhi teknologi tetapi yang kita banteras dan musuhi ialah teknologi yang digunakan bagi tujuan yang tidak baik atau menyesatkan umat. Perbuatan sebegini bukan sahaja membazirkan masa, tenaga tetapi juga buah fikiran.
Selain daripada peranan yang diambil tanggungjawab oleh JAKIM, beberapa pengamatan semasa yang boleh digunakan oleh umat Islam dalam menangani isu globalisasi dalam pengajian al-Qur’an, antaranya:[47]
  1. Kepentingan memahami maksud, intipati dan fenomena sebenar globalisasi ini dengan pandangan yang lebih luas dan holistik.
  2. Kepentingan menggunakan pendekatan pertengahan dalam menangani isu globalisasi. Pada dasarnya, idea asas globalisasi ini bersesuaian dengan sifat dan falsafah ajaran al-Qur’an yang menganjurkan beberapa elemen global seperti Allah penguasa seluruh alam, Islam untuk semua, al-Qur’an menekankan konsep kesatuan ummah, galakan ke arah penguasaan ilmu dan kefahaman yang bersifat global dan lain-lain.
  3. Kepentingan menggunakan pendekatan positif dan proaktif terhadap perkembangan ICT moden yang boleh dijadikan sebagai alat utama ke arah mewujudkan kekuatan umat Islam sedunia.
  4. Kepentingan menyediakan kerangka metodologi pengajian al-Qur’an yang lebih advance bagi menghadapi impak negatif yang bakal ditimbulkan oleh gejala globalisasi.
  5. Kepentingan meneruskan pendekatan intelektualisme yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mengutarakan kritikan yang membina dengan matlamat mewujudkan konsep amar makruf, nahi mungkar yang berterusan  di dalam masyarakat Islam.
Selain daripada beberapa saranan di atas, para ulama harus memainkan peranan yang besar dalam masyarakat dan kelesuan mereka akan mengundang krisis keilmuan yang merugikan masyarakat Islam. Hal ini sebenarnya telah dibangkitkan oleh Muhammad Rashid Rida, justeru beliau mencadangkan supaya para ulama yang berperanan sebagai agen perubah masyarakat supaya memperlengkapkan diri menguasai warisan disiplin ilmu Islam, menguasai disiplin ilmu moden, memperkukuhkan hubungan khusus Islam dengan setiap bidang ilmu moden dan menemui cara-cara untuk mengabung-jalin antara ilmu warisan dan ilmu moden.

Penutup
Dunia globalisasi menyajikan pelbagai kemudahan sains dan teknologi maklumat yang pantas dan efisyen sehingga pengajian al-Qur’an boleh dilayari di alam maya tanpa sempadan. Justeru, tanpa menafikan sumbangan positifnya, kita juga terpaksa berdepan dengan cabaran negatif yang dirancang oleh musuh-musuh Islam untuk mejauhkan umat Islam dari kitab al-Qur’an dalam erti kata yang sebenarnya. Cubaan untuk mengubah orientasi umat Islam terhadap al-Qur’an secara tersurat tidak berkesan dan tidak melemahkan semangat mereka untuk melaksanakan misi licik itu. Bahkan, tanpa menjauhkan umat Islam daripada al-Qur’an, mereka telah menyebarkan fahaman yang menyeleweng dalam memahami al-Qur’an, tidak sebagaimana yang difahami oleh para sarjana ilmuan Islam baik dahulu mahupun sekarang.
Justeru, para sarjana Islam perlu bertindak lebih aktif menangani isu ini, lebih-lebih lagi disaat umat Islam sendiri terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah pada zaman moden yang agak meruncing kini. Mereka harus menyediakan kerangka jawapan dan paradigm pemikiran Islam moden yang boleh mencerap, mencerakin dan membuat analisis secara kritikal terhadap cabaran dalam pengajian al-Qur’an yang ditimbulkan oleh globalisasi berasaskan disiplin pengajian al-Qur’an fundamental dan moden.


* Prof. Madya merangkap Ketua Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[1] Muhammad Abu Bakar (1987), Penghayatan Sebuah Ideal Status Tafsiran Tentang Islam Semasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 209.
[2] Amar al-Roubaie (2002), Globalization and the Muslim World, Selangor: Malita Jaya, h. 26.
[3] Berita Harian, 12 Jun 2001, h. 2.
[4] Imlan Adabi (2001), “Globalisasi Ancaman Karya Islam”, Berita Harian, 28 Mei 2001.
[5] Abd Rauf Dato’ Haji Hassan Azhari et al. (2005), “Pemerolehan Sumber Rujukan Pengajian al-Quran Melalui Media Internet Di Era Globalisasi”, (Kertas Kerja Seminar Antarabangsa Tentang Al-Qur’an di Kuala Lumpur, 19-20 September 2005): Vol. 1, h. 3.
[6] http://www.alwaraq.com / 22 Februari 2009.
[7] op.cit., h. 5.
[9] Abd Rauf Dato’ Haji Hassan Azhari et al. (2005), op.cit. h. 3-4.,
[10] Ibid.
[11] http://www.quraat.com, 22 Februari 2009, diselenggarakan oleh al-Shaykh Muhammad Nubhan bin Husayn bin Muhammad bin Ahmad al-Masri.
[12] http://www.55a.net/firas/arabic/ diselenggarakan oleh Prof. Firas Nurul Haq serta beberapa jawatankuasa lain.
[13] Muhammad Mustaqim Mohd Zarif et al. (2005), “Penyelewengan Terhadap al-Quran Di Era Globalisasi: Suatu Analisa,” (Kertas Kerja Seminar Antarabangsa Tentang Al-Quran di Kuala Lumpur, 19-20 September 2005): h. 1.
[14] Ibid., h. 2
[16] Ibid., 11 Februari 09.
[17] Ibid.
[18] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Metode hermeneutics ini lebih mirip kepada apa yang digagaskan oleh Fazlur Rahman sebagai satu alternatif terhadap pentafsiran al-Qur’an secara komprehensif. Ibid.
[22] Ibid.
[23] Ibid.
[24] Ibid.
[25] Seorang sarjana berketurunan Yahudi, dan mengarang buku berjudul “Islamic Liberalism : A Critique of Development Ideologies”. Lihat Dr. Ugi Suharto (2007), Pemikiran Islam Liberal, Selangor: Dewan Pustaka Fajar, h. 3.
[26] Charles Kurzman mengarang buku Liberal Islam-A Sourcebook. Ibid.
[27] Muhammad Mustaqim Mohd Zarif et al. (2005), op.cit., h.11.
[28] Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi (1997), Isra’iliyyat Mu’asirah, Jordan: Dar `Ammar, h. 157-177.
[29] R. Bostworth Smith (1876), Mohamed and Mohammedanism, London, h. 217. Tuduhan jahat musuh Islam terutama golongan Orientalis terhadap al-Qur’an, Nabi Muhammad ditulis secara terperinci oleh Mohammad Khalifa (1983), The Sublime Qur’an and Orientalism, New York: Longman London.
[30] http://www.japim.edu.my/bkpim/jqaf_bm.htm.
[31] Bernama, 20 April 2006.
[32] Lihat “Ajaran, Fahaman & Tarikat yang telah difatwa dan diwartakan Menyeleweng lagi Sesat dalam Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur Semenjak 1997-2007”, Kuala Lumpur: Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
[33] Utusan Malaysia, Mei 22, 2005.
“Islam Liberal Menyeleweng”, Utusan Online, http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp , 12 Julai 2005, Ibid.
[34] Lihat, “Bahan Penerbitan di warta Haram oleh KDN”, Bahagian Penyelidikan JAKIM, http://www.islam.gov.my/ ppi/wartaharam.html.
[35] Utusan Malaysia, Ogos 14, 2008, “KDN haram Dua Buku Seleweng Fakta Islam”,
[36] Kassim Ahmad (1986), Hadith: Satu Penilaian Semula. Petaling Jaya: Media Intelek. Lihat juga Najah Nadiah Haji Amran (2001), Gerakan anti Hadith di Malaysia: Suatu Kajian dalam Internet, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, h. 31.
[37] Merujuk kepada enam buah karya besar di bidang hadith yang dikumpulkan oleh para perawi hadith dan dihimpunkan dalam bentuk pembukuan seperti Hadith al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidhi, Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah, dan Sunan al-Nasai.
[38] Watan, Mei 10, 1986
[39] Kamal Ahmad (1986), Watan, Mei 27.
[40] Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menubuhkan panitia penilai bagi meneliti kandungan buku Hadith: Satu Penilaian Semula yang menimbulkan kontroversi. Panel tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Muhammady, pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia. Lihat Utusan Malaysia, 2 Jun 1986.
[41]  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengedarkan buku Hadith: Satu Penilaian Semula kepada 12 orang jawatankuasa fatwa negeri untuk memutuskan tindakan yang bakal diambil terhadap buku dan penulisnya. Lihat Berita Harian, Jun 18, 1986.
[42] Utusan Malaysia, Julai 16, 1995, h. 6.
[45] IFC yang nama asalnya ialah IRC -Inter Religious Council (IRC)- adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit. IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama (termasuk aduan orang Islam terhadap agama Islam dan orang Islam).
[47] Rahimin Affandi Abd. Rahim (2006), “Menangani Cabaran Globalisasi: Satu Analisis Terhadap Pemikiran Reformis Semasa” dalam Mohd Fauzi Hamat et al., Pemikiran Islam dan Cabaran Semasa, Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, h. 222-229.

Recent Posts

Recent Updates

Recent Comments